Wednesday, January 07, 2015

Karim sokong Shapawi - Harian Metro



Kuala Lumpur: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim menyambut baik pendekatan yang akan diamalkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail berkaitan program latihan atlet.

Menurut Karim, hasrat Ahmad Shapawi yang baru dilantik mengetuai MSN bagi menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong adalah tindakan wajar kerana pihak yang paling mahir dalam sesuatu sukan adalah persatuan itu sendiri.

“Pada zaman 60-an, 70-an dan 80-an persatuan sukan kebangsaan yang pegang namun selepas Sukan Komanwel 1998, MSN yang ‘mempunyai kuasa lebih’. Jadi selepas 20 tahun jika Ahmad Shapawi mempunyai niat seperti itu, ia sesuatu yang bagus,” katanya.

Ahmad Shapawi berhasrat memberikan peranan lebih besar kepada persatuan sukan kebangsaan dalam merencanakan program atlet mereka dengan melihat langkah berkenaan akan mengiktiraf peranan dan menjadikan mereka bukan saja bertanggungjawab terhadap prestasi atlet namun terhadap perkara lain seperti isu doping dan sebagainya.

“Saya berpandangan MSN perlu berperanan untuk mengimbangi peranan persatuan sukan kebangsaan kerana peruntukan dikeluarkan adalah duit kerajaan. MSN adalah agensi yang salurkan duit dan patut memberikan kerjasama kepada persatuan sukan kebangsaan demi kepentingan dan membangunkan sukan.

“Kami (KOM) akan bekerjasama untuk mewujudkan hubungan erat demi kebaikan sukan negara, bukan semata-mata untuk mencari publisiti. Kami menyambut secara positif dan terbuka dengan hasrat Ahmad Shapawi itu,” tambahnya.

Cabaran paling getir arena sukan negara pada tahun ini adalah temasya Sukan SEA yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada pertengahan tahun disusuli Sukan Olimpik 2016 di Brazil dengan misi mencapai pingat emas pertama negara diteruskan.



No comments:

Post a Comment