Monday, January 19, 2015

Jadi pengajaran



Kuala Lumpur: “Tak sia-sia berlaku konflik ini kerana ia secara tidak langsung memberi pengajaran berguna kepada semua pihak.”

Demikian pandangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad mengenai persengketaan membabitkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berhubung isu penganjuran Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) di Pulau Pinang, Mei ini.

Tidak menuding jari terhadap mana-mana pihak, Mazlan yang mengambil tahu isu itu berkata, baik MOM mahupun KOM, kedua-dua entiti itu melakukan tindakan yang betul mengikut bidang kuasa masing-masing.

Jelas anggota Panel Penasihat Sukan (PPS) itu, meskipun MOM badan induk sukan tertinggi di negara ini, mereka juga tidak boleh terlepas mendapatkan pengiktirafan persatuan sukan kebangsaan seperti KOM sekiranya mahu menganjurkan satu-satu kejohanan.

“MOM boleh menganjurkan apa juga acara dengan tujuan untuk mencari dana bagi membantu persatuan sukan kebangsaan. Tapi pada masa sama, MOM perlu hormati hak persatuan sukan kebangsaan.

“Ada acara bertaraf antarabangsa tidak boleh dianjurkan sendiri oleh MOM tanpa persetujuan persatuan sukan kebangsaan. Dalam kes ini, jelas sekali relevan untuk KOM menuntut ‘hak’ mereka,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mazlan, atas kebijaksanaan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar, isu itu dapat diselesaikan dengan baik apabila menukar nama maraton itu kepada satu nama lain.
“Pada pandangan saya Tunku Imran faham situasi yang berlaku dan mengambil keputusan tepat untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Mazlan turut bersetuju dengan tindakan Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim yang menuntut penjelasan lanjut daripada MOM berhubung penganjuran larian itu.

“Dalam kes ini, saya bersetuju dengannya (Karim). MOM perlu memberi penjelasan terperinci tentang larian itu, bukan sekadar menukar nama saja,” katanya.

Isu itu mula tercetus selepas Karim mendakwa penganjuran maraton itu tidak sah kerana tidak mendapat pengiktirafan KOM.

Bagaimanapun, MOM menerusi Naib Presiden Datuk Danyal Balagopal Abdullah menegaskan, tiada keperluan untuk mereka mendapatkan pengiktirafan daripada KOM sebelum Tunku Imran menyelesaikan masalah dengan menukar nama kepada nama lain.




Oleh Saiful Affendy Sapran

saifulaffendy@hmetro.com.my 

No comments:

Post a Comment