Tuesday, January 20, 2015

Hukuman berat sebelah – Tunku Ismail



JOHOR BAHRU – Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menyifatkan hukuman denda RM100,000 dan amaran keras dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan isu Gary Steven Robbat sebagai satu keputusan yang berat sebelah.

Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mempersoalkan kenapa Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) tidak dikenakan tindakan sama kerana turut menandatangani kontrak dengan Gary sebelum pemain itu dilepaskan FAM.

“Saya tidak bersetuju dengan keputusan FAM kerana keputusan yang berat sebelah dan denda sebanyak RM100,000 adalah jumlah yang besar.

“Yang menjadi persoalan, kenapa PBNP hanya diberi amaran sedangkan mereka turut melakukan kesalahan yang sama. Malah Gary turut dihukum oleh FAM sedangkan pemain Pahang, Fauzi Roslan yang menandatangani kontrak dengan Felda United tidak dikenakan tindakan apabila membuat pusingan U untuk kekal bersama Tok Gajah,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Status FAM memutuskan Gary tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana kejohanan selama tiga bulan kerana melanggar peraturan perjanjian mengikut Artikel 15 (a) dengan menandatangani kontrak bersama dua pasukan, iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang.

Pemain yang berasal dari Kulim, Kedah itu turut didenda RM50,000.
Diminta mengulas status Gary, Tunku Mahkota Johor itu memberitahu, pemain tengah itu akan menyertai JDT selepas tamat menjalani tempoh penggantungan tiga bulan.

Menurutnya, PBNJ akan menjaga kebajikan bintang Harimau Malaya itu sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.

“PBNJ sememangnya menjaga kebajikan para pemain dan akan membuat perkara sama dengan menjaga kebajikan Gary. Kami akan mendaftarkan Gary sebagai pemain JDT selepas tamat tempoh penggantungan pada April ini.

“Saya amat berharap isu Gary ini tidak berlarutan kerana dikhuatiri dia membuat keputusan untuk bersara awal. Itu akan menjadi satu kerugian besar kerana dia mempunyai potensi yang besar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin mempunyai penjelasan tersendiri terhadap isu terbabit sambil menyatakan mereka hanya menerima aduan daripada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) membabitkan PBNJ dan bukannya PBNP.

“Isu ini bermula sebaik sahaja mendapat aduan daripada KFA yang membuat tuntutan kepada FAM apabila JDT membuat surat kepada Kedah untuk memohon Sijil Perpindahan Negeri (SPN) selepas menandatangani pemain tersebut pada 21 November 2014.

“Bagaimanapun, Kedah tidak benarkan dan mereka tidak lepaskan Gary, jadi FAM membuka kes ini yang melibatkan tiga pihak iaitu Kedah, Gary dan JDT.

“Jadi, atas kesalahan yang dibuat oleh Gary kerana menurunkan tandatangan yang tidak sah dengan dua pasukan, maksimum denda ialah RM25,000 untuk setiap satu kesalahan dan dia sebenarnya boleh digantung antara 30 hari ke seumur hidup, satu tahap yang dibenarkan undang-undang.

“JDT pula didenda RM100,000 kerana mendorong ke arah pelanggaran peraturan (oleh Gary) tetapi dalam kes ini tiada sebarang aduan daripada mana-mana pihak terhadap Pahang, namun memandangkan kami mendapat tahu mereka juga ada tandatangan (kontrak dengan) Gary pada 14 November, amaran keras adalah memadai,” jelasnya.

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN - UTUSAN

No comments:

Post a Comment