Tuesday, January 06, 2015

Frost lebih berkuasa daripada BAM? - Utusan





KUALA LUMPUR - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi gambaran mereka tidak mempunyai kuasa untuk menawarkan kontrak baharu kepada barisan jurulatih kebangsaan.
Sebaliknya masa depan mereka berada di tangan Morten Frost Han­sen yang bakal menggalas tanggungjawab selaku Pengarah Teknikal.

Situasi itu sama sekali mencerminkan betapa legenda badminton Denmark itu mempunyai kuasa penuh, sekali gus mengatasi kuasa badan induk sukan badminton negara dalam menentukan nasib jurulatih yang telah banyak berjasa kepada negara.

Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata, berdasarkan kontrak yang ditawarkan kepada Frost, dia diberi kebebasan untuk memilih barisan jurulatih yang dikehendakinya.

Pemilihan berdasar kepada laporan penilaian komprehensif yang disediakan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Majlis Sukan Negara, (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), ahli majlis BAM dan Ketua Jawatankuasa Kejohanan.

Laporan lengkap yang melibatkan pemain serta jurulatih itu me­rangkumi hampir keseluruhan aspek termasuk kebolehan, keputusan kejohanan serta prestasi mereka sepanjang tempoh tiga tahun.
“Apabila Morten datang (Mac ini) kita akan bincang dan tentukan siapa akan mengetuai bahagian mana berdasarkan kepada laporan yang disediakan kerana dia juga akan menilai jurulatih mengikut prestasi mereka sepanjang kejohanan Siri Super.

“Dia pernah bekerja di sini dan mengenali jurulatih kita, jadi dia akan tentukan siapa yang terbaik dan siapa yang diperlukan.

“Jika dia kata A duduk di bahagian A atau B duduk di bahagian B, dia bebas untuk melakukannya,” kata Tengku Mahaleel selepas mengadakan pertemuan bersama barisan jurulatih kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek bagaimanapun tidak kelihatan dalam mesyuarat yang berlangsung hampir lima jam itu.
Hampir semua jurulatih utama negara telah tamat kontrak termasuk Rashid, Tey Seu Bock, Rosman Razak, Pang Cheh Chang, Jeremy Gan dan Wong Tat Meng.

Difahamkan, mereka hanya diberi lanjutan kontrak hingga Mac berdasarkan kepada emel yang dihantar pada hari yang sama kontrak mereka tamat, namun dalam masa sama Rashid tidak lagi memegang jawatan Ketua Jurulatih perseorangan.

Tengku Mahaleel membe­ritahu, sekiranya terdapat jurulatih yang tiada dalam senarai perancangan Frost, mereka akan diberi lanjutan kontrak tambahan selama tiga bulan bagi membolehkan mereka mencari pekerjaan baharu.

“Sekiranya ada jurulatih yang tidak terpilih, mereka akan diberi kontrak lanjutan selama tiga bulan, sama ada mereka mahu bekerja di bahagian-bahagian lain dalam BAM, menjadi jurulatih di tempat lain atau mencari kerja lain. Biasanya kita bagi tempoh sebulan sahaja, dalam kes ini kita beri tempoh tiga bulan.

“BAM memberi jaminan, sekiranya mereka menerima kontrak baharu, segala kenaikan gaji serta bonus kemenangan yang tertunggak pada tahun lalu akan dibayar sepenuhnya,” katanya.

Ketika kebanyakan jurulatih bimbang tentang masa depan mereka bersama badan induk badminton negara itu, Tengku Mahaleel menegaskan, mereka tidak perlu bimbang sekiranya berjaya mencapai piawaian yang ditetapkan dan menjalankan tanggungjawab seperti yang terkandung dalam kontrak.
“Mana-mana jurulatih yang berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik, mereka tidak perlu bimbang dan atas sebab itu kami memanggil semua jurulatih yang ada hari ini (semalam) untuk membincangkan perkara ini,” katanya.

Mengulas mengenai lanjutan kontrak jurulatih sehingga Mac ini, Tengku Mahaleel berkata, perkara itu dilakukan kerana tidak mahu mengganggu persiapa skuad negara bagi berdepan Sukan SEA 2015 di Singapura, yang bermula Jun ini. 

Katanya, tindakan melanjutkan kontrak jurulatih adalah kerana bimbang jika Frost menyingkirkan mana-mana jurulatih semasa me­lakukan tugasanya selaku Pengarah Teknikal BAM dan ia akan menjejaskan program sukan itu.



No comments:

Post a Comment