Tuesday, January 20, 2015

FAM untung RM1.26b dalam tempoh 15 tahun



PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengaut keuntungan berjumlah RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun selepas mencapai persetujuan untuk mengadakan kerjasama dengan syarikat hak media sukan terkemuka, MP & Silva sebagai rakan kongsi untuk membantu penswastaan liga yang akan bermula pada musim 2016.

Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang meng­umumkan perkara itu berkata, FAM, MP & Silva dan pihak badan gabungan atau kelab akan berkerjasama di bawah satu bumbung iaitu di bawah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Tambahnya, MP & Silva turut akan bertindak sebagai penasihat global kepada FAM dalam menjana keuntungan selain menjadi perunding untuk memilih penyiar rasmi Liga Malaysia pada musim 2015.
“Selepas sebulan kami berbincang dan mengadakan mesyua­rat, saya mengumumkan Football Malaysia Limited Liablity Partnership (FMLPP) telah ditubuhkan sebagai usaha meletakkan bola sepak Malaysia di peringkat tertinggi.

“Melalui perjanjian ini juga FAM dijanjikan sekitar RM1.26 bi­lion dalam tempoh 15 tahun, de­ngan kontrak bertempoh 6+3+3+3 tahun, dan jika dalam enam tahun pertama mereka gagal mencapai jumlah yang disasarkan, FAM akan menamatkan kontrak mereka.

“Ini sesuatu yang baik bagi menambahkan lagi pendapatan kepada pasukan-pasukan negeri dan kelab yang bersaing dalam Liga Malaysia dalam tempoh jangka panjang kerana berdasarkan apa yang kami rancang, 40 peratus jumlah pendapatan itu akan diberi kepada FAM untuk tujuan pembangunan sementara 30 peratus kepada pasukan yang bertanding manakala 20 peratus untuk perbelanjaan liga dan 10 peratus kepada pembangunan jurulatih,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM semalam.

MP & Silva yang mempunyai 18 pejabat di serata dunia dikenali kerana memegang hak penyiaran bagi Piala Dunia 2014, Serie A, Liga Perdana Inggeris (EPL), Ligue 1, Major League Soccer (MLS) dan Formula Satu.

Tengku Abdullah berkata, pemilihan MP & Silva tidak bermakna hak penyiar rasmi sudah menjadi milik syarikat yang berpengkalan di London itu kerana FAM akan memegang hak penyiaran sepenuhnya dan bukan lagi seperti mana Astro sebelum ini.

“FAM akan memegang sepenuhnya hak penyiaran kali ini dan MP & Silva akan bertindak sebagai penasihat kami dalam menentukan siapa yang layak dan ada kemungkinan turut melibatkan badan penyiar luar negara, tidak sama seperti empat tahun lalu apabila Astro diberi hak eksklusif sepenuhnya,” katanya.

Berdasarkan jumlah yang dijanjikan oleh MP & Silva dari tahun 2016 ke 2021, FAM akan dijanjikan pulangan sebanyak RM70 juta setahun manakala RM85 juta bagi tempoh tiga tahun berikutnya (2022-2024), RM92 juta (2025-2027) dan RM103 juta bagi tempoh tiga tahun terakhir



 UTUSAN

No comments:

Post a Comment