Tuesday, January 20, 2015

FAM bakal raih RM1.26b



TENGKU Abdullah (tengah) mempengerusikan mesyuarat berhubung penajaan Liga M.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/24945#sthash.aIXirbsw.dpuf

 
Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengorak langkah menjelang penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) apabila melantik MP & Silva sebagai rakan kongsi baru yang memberi jaminan akan memenuhi kantung badan induk itu dengan pendapatan RM1.26 bilion dalam tempoh 15 tahun, bermula 2016.

Keputusan itu diumumkan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas Mesyuarat Exco khas semalam dengan kerjasama itu akan dipacu menerusi penubuhan Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang turut membabitkan penyertaan kelab dan ahli gabungan FAM.

“Exco FAM bersetuju meluluskan proses penswastaan liga dengan menjadikan pasukan Liga Super dan Liga Perdana sebagai rakan kongsi FAM. Dalam struktur baru ini, pasukan yang menyertai liga akan mendapat bahagian masing-masing hasil daripada keuntungan komersial selepas ini.
“Hari ini (semalam) kita berjaya mendapatkan pelaburan bernilai RM1.26 bilion untuk tempoh 15 tahun daripada MP & Silva dan mereka akan bekerjasama dengan FMLLP untuk menjana pendapatan lebih besar untuk pasukan dan pemegang saham.

“Namun ingin saya tegaskan, hak ke atas harta intelek ini iaitu Liga Malaysia masih dalam kawalan FAM kerana kita mahu memastikan ia selari dengan hala tuju ditetapkan,” katanya yang mengesahkan perjanjian kerjasama dengan MP & Silva secara rasmi akan dilakukan Jumaat ini.

MP & Silva yang berpangkalan di London dan Singapura adalah syarikat yang menguruskan hak penyiaran antarabangsa, antaranya Liga Perdana Inggeris, La Liga, Serie A, Ligue 1 dan Bundesliga. Mereka ditugaskan untuk membantu FAM mendapatkan pelaburan daripada penaja berpotensi untuk Liga M musim ini, namun tiada jaminan jumlah pelaburan yang bakal dibawa masuk.

Berdasarkan jaminan pendapatan yang bakal diberikan kepada FAM oleh MP & Silva untuk 2016-2021 ialah sebanyak RM420 juta (RM70 juta setahun), 2022-2024 RM255 juta (RM85 juta setahun), 2025-2027 RM276 juta (RM92 juta setahun) dan 2028-2021 RM309 juta (RM103 juta setahun).

Sementara itu Bendahari FAM Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, pelantikan MP & Silva bukanlah sebagai penaja sebaliknya hanya sebagai penasihat dan perunding yang akan membantu FMLLP menguruskan liga dan menjana keuntungan secara komersial untuk pemegang saham.
Ditanya berkenaan beberapa tawaran daripada gabungan empat syarikat gergasi tempatan sebelum ini Norza berkata: “Ia tidak mencapai kata sepakat dan kami memutuskan untuk memilih tawaran daripada MP & Silva.

“Ini tidak bermakna syarikat penyiaran tempatan tidak mempunyai peluang membuat liputan, tapi ia akan menjadi tanggungjawab FAM untuk memastikan liputan menyeluruh semua pihak media terbabit.

“Keutamaan kami memastikan lebih banyak siaran langsung diadakan termasuk saluran percuma yang menjadi tontonan majoriti peminat bola sepak tempatan.”



No comments:

Post a Comment