Thursday, January 22, 2015

Duit Kemenangan LTdL 2014 Akan Dibayar - Khairy


PUTRAJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa hadiah wang kemenangan pasukan bertanding pada jelajah berbasikal, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014, akan dibayar secepat mungkin.

Beliau menjelaskan hadiah wang kemenangan yang yang sepatutnya dibayar pada edisi tahun lepas telah digunakan oleh Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi tujuan program pembangunan atlet berbasikal negara.

"Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) (Datuk Jamil Salleh) untuk membuat pembayaran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan laluan jelajah LTdL 2015 di lobi KBS di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa beberapa pasukan bertanding pada LTdL 2014 mendakwa tidak menerima wang kemenangan daripada penganjur sebagaimana yang dijanjikan walaupun LTdL sudah melabuhkan tirai pada 8 Mac tahun lepas.

Sebagai rekod, KBS sebelum ini terpaksa campur tangan dalam menyelamatkan imej LTdL di mana sebelum ini melibatkan pakej berjumlah RM10.7 juta bagi edisi 2006 apabila penganjur pada waktu itu, First Cartel Sdn. Berhad gagal melangsaikan pembayaran yang sepatutnya kepada pasukan yang bertanding.

Sementara itu, Khairy berkata beliau akan melihat semula status pengurusan PKBM, yang masih digantung, walaupun sudah memberi penjelasan memuaskan berhubung geran tahunan berjumlah RM1.5 juta bagi program pembangunan skuad berbasikal lebuh raya.

"Adalah penting untuk saya mengkaji semula status bagi memastikan mereka (PKBM) telah memperbaiki tatacara pengurusan kewangan. Sekiranya mereka telah berbuat demikian, saya akan membuat keputusan berdasarkan respons mereka," katanya.

Isu PKBM bermula susulan kegagalan skuad lebuh raya negara memenangi emas di Sukan SEA 2013 di Myanmar walaupun badan induk berkenaan dilaporkan mendapat peruntukan berjumlah RM1.5 juta untuk program pembangunan acara lebuh raya negara.

Khairy kemudian mengarahkan satu audit dalaman dilakukan ke atas akaun PKBM ekoran adanya aduan khusus berkaitan program berbasikal lebuh raya negara dan laporan perbelanjaan persatuan itu yang didapati terlalu umum.

Beliau kemudian mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk menggantung pentadbiran PKBM sehingga mereka memberikan kenyataan balas mengenai laporan audit mengenai salah urus tadbir.

Sehingga kini, KBS belum memutuskan status PKBM sama ada mereka digantung atau sebaliknya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment