Thursday, January 08, 2015

Dilema BAM - Kosmo



DUA jurulatih asing menolak tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk jawatan ketua jurulatih perseorangan negara.

Puncanya tidak dapat dipastikan sedangkan dua jurulatih berkenaan, He Guoquan dari China dan Hendrawan dari Indonesia memiliki pengalaman yang luas dalam bidang kejurulatihan.

Adakah mereka tidak yakin dengan BAM atau sebaliknya, dan penolakan tersebut dianggap agak memalukan badan induk sukan badminton negara itu yang memiliki reputasi tertinggi di rantau ini.
Sumber dalaman BAM menjelaskan, Guoquan telah menolak tawaran untuk menjadi ketua jurulatih pagi semalam selepas berasakan dirinya masih belum layak untuk membimbing skuad perseorangan elit negara.

“Ketika mesyuarat pada Isnin lalu dia (Guoquan) sudah dilantik menerajui jawatan tersebut dan saya rasa dia tidak yakin untuk menerima jawatan itu kerana tidak pernah membimbing pemain elit. Pengalaman dia lebih kepada membimbing pemain-pemain remaja.

“Dia mengakui tiada niat untuk menjadi ketua jurulatih kerana dia datang sini adalah untuk menjaga barisan pelapis sebab itu kelmarin dia sekali lagi bertemu dengan pengurusan BAM untuk menolak tawaran tersebut,” jelas sumber tersebut.

Selepas penolakan itu, BAM dilaporkan menawarkan jawatan ketua jurulatih perseorangan itu kepada Hendrawan, namun jurulatih dari Indonesia itu juga turut menolak.
Menurut sumber tersebut, mungkin dua jurulatih tersebut berasa agak selesa dengan jawatan mereka sekarang membimbing barisan pelapis daripada mengendalikan skuad elit.

“Punca mereka menolak tawaran tersebut tidak dapat dipastikan tetapi setakat yang saya tahu, mereka tidak yakin,” jelas sumber tersebut.

Selepas tidak mencapai persetujuan daripada Hendrawan dan Guoquan, BAM dikatakan memberi kepercayaan kepada Rashid Sidek untuk meneruskan tugas tersebut, terutamanya untuk menyediakan skuad yang akan beraksi pada Sukan SEA di Singapura nanti serta persediaan menghadapi Piala Sudirman pertengahan tahun ini.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai ketika ditemui semalam enggan memberi penjelasan terhadap penolakan tawaran untuk kenaikan pangkat kepada Guoquan dan Hendrawan.

Namun, beliau sekadar menjelaskan bahawa Rashid masih dalam perancangan BAM memandangkan skuad negara memiliki dua tugas besar untuk dihadapi pertengahan tahun ini, iaitu Sukan SEA Singapura dan Piala Sudirman.


No comments:

Post a Comment