Tuesday, January 20, 2015

Chong Wei pun ‘pening’



KUALA LUMPUR – Kejohanan badminton Malaysia Masters yang menutup tirainya kelmarin menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai kemampuan pemain-pemain negara untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.

Persoalan utama ialah apakah akan ada wakil negara di Sukan Olimpik 2016 kelak, sedangkan tempoh untuk melayakkan diri semakin pendek.
Kejohanan di Kuching, Sarawak itu menyaksikan semua pemain kebangsaan gulung tikar, dan sudah seharusnya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berasa panik sekarang.

Baik Chong Wei Feng mahu pun Liew Daren, masing-masing belum menunjukkan aksi yang meyakinkan untuk meng­galas cabaran Malaysia pada tahun ini, apatah lagi angkatan pemain yang lebih muda seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Mohd. Arif Abd. Latif dan Zulfadli Zulkifli juga belum cukup bagus untuk mencabar senior mereka.

Keadaan ini turut mencemaskan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang ‘pening’ dengan situasi semasa yang melanda sukan badminton negara.
“Saya ada di sana (Kuching) selama beberapa hari untuk menonton kejohanan tersebut. Setakat ini, persembahan perseorangan negara bukanlah di tahap yang terbaik.

“Saya harap Wei Feng dan Daren buat yang terbaik pada masa akan datang. Cuma Teck Zhi saya tengok ada peningkatan sedikit dalam permainan dia,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini semalam.

Kekalahan wakil-wakil negara dalam kejohanan itu menyaksikan Malaysia mencatat antara keputusan terburuk dalam kejohanan Grand Prix Emas bernilai AS$120,000 (RM428,000) itu.
Dalam masa sama, Chong Wei turut menggesa rakan-rakannya agar memasang impian yang tinggi untuk melakar kejayaan kerana baginya tekad yang kuat merupakan antara faktor penting yang mampu membantu meningkatkan prestasi.

“Apa yang boleh saya cakap, kalau kita mahukan sesuatu kita fokuskan benda itu. Jangan buat sesuatu perkara sekerat jalan.

“Sebagai contoh, saya tidak kisah diberi tekanan oleh jurulatih sebab apa yang mereka buat sebenarnya adalah untuk kebaikan diri kita sendiri.

“Jurulatih suruh buat latihan, kita kena buat latihan sampai selesai. Kadang-kadang saya juga ada buat sesuatu lebih daripada yang disuruh jurulatih. Selagi saya mampu buat, saya buat,” katanya.



SUFIAN HADIMOHD. SOJAK - UTUSAN
 





UFIAN HADI
MOHD. SOJAK


No comments:

Post a Comment