Friday, January 09, 2015

Chong Wei akur tarikh bicara ditunda



Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei (gambar) mengakui dia perlu akur dengan sebarang perubahan tarikh mengenai Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurutnya, dia tidak boleh berbuat apa-apa mengenai perubahan tarikh berkenaan kerana keputusan itu dibuat peguam yang dilantik, Mike Morgan.

“Mungkin beliau (Morgan) masih mengumpul bukti tapi bagi saya sendiri memang tidak boleh melakukan apa-apa,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Kelmarin Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza mengesahkan tarikh perbicaraan bekas pemain nombor satu dunia itu ditukar kepada awal Februari.
Sebelum ini tarikh perbicaraan berkenaan dikatakan akan berlangsung pada awal Januari, sebelum timbul desas-desus mengatakan ia diubah kepada 12 Januari dan minggu ketiga bulan ini.

“Saya hanya berlatih seperti biasa dan membantu rakan pelatih yang lain.

“Saya tidak boleh fikir mengenai benda ini, sehingga tarikh perbicaraan ini betul-betul disahkan,” kata Chong Wei yang sekarang ini digantung sementara oleh BWF.

Chong Wei didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamathasone ketika beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos tahun lalu.

Usaha untuk mengumpul bukti dilakukan sebaik mungkin bagi mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya agar boleh beraksi seawal mungkin tahun ini termasuk mengumpul mata melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment