Wednesday, January 07, 2015

Cakap tak serupa bikin - KOSMO



BELUM pun kemelut lama reda, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dipercayai sudah melakukan penstrukturan baharu biarpun sebelum persatuan tersebut sebelum ini menjelaskan akan menunggu kedatangan pengarah teknikal, Morten Frost untuk membuat perubahan bagi menyelesaikan dilema yang sedang membelenggu beberapa jurulatih badminton negara.

Menurut sumber, BAM dipercayai sudah melakukan penstrukturan baharu yang mana terdapat perubahan daripada aspek kejurulatihan ketika ini dan ia telah dikuatkuasakan serta-merta.
“Situasi sekarang ini semakin pelik apabila dipercayai secara tiba-tiba jurulatih perseorangan dikendalikan seorang jurulatih dari China, He Guo Quan manakala jurulatih untuk acara beregu juga dikatakan berubah.

“Masalahnya, siapa yang buat struktur baharu ini?. Siapa pula yang meluluskannya sedangkan sebelum ini BAM cakap mahu tunggu kedatangan Frost pada Mac nanti, tetapi tiba-tiba ada perubahan drastik dilakukan.

“Sepatutnya, tunggu sehingga kedatangan Frost kalau betul-betul mahu menstruktur semula keseluruhan pengurusan sebab sebelum ini menyatakan, segala keputusan bergantung kepada Frost.
“Mungkin ada perancangan lain,” kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.

Tugas jurulatih perseorangan sebelum ini diikendalikan oleh Rashid Sidek dan keputusan BAM memberi tanggungjawab tersebut kepada Guo Quan seolah-olah merupakan langkah untuk menyingkirkan Rashid.

“Langkah ini macam nak menyingkirkan Rashid serta barisan kejurulatihan yang lain dalam skuad negara ketika ini,” jelas sumber berkenaan.

Menurutnya lagi, keadaan sekarang semakin kalut dan perancangan yang dilaksanakan itu tidak bertepatan kerana seperti ada niat mahu menyingkirkan beberapa jurulatih daripada terus mengendalikan skuad negara.

“Sehingga ke hari ini pun, tiada lagi kelibat jurulatih dari China itu menghadiri sesi latihan tetapi tiba-tiba diberitahu, dia akan menjadi jurulatih perseorangan negara ketika ini.

“Memang agak jelas sekarang ini ada seseorang yang mahu mengawal BAM, yang mana semua perancangan dilakukannya sendiri tanpa mengambil kira situasi genting yang sedang dialami kem badminton negara,” ujar sumber tersebut.

Semalam, Kosmo! melaporkan, nasib enam jurulatih negara terletak di tangan Frost sama ada akan terus berkhidmat atau tidak selepas mereka diberi lanjutan kontrak sehingga Mac ini.

Keputusan BAM itu diputuskan tanpa mengadakan pertemuan dengan barisan jurulatih terbabit, malah mereka dilaporkan kontrak lanjutan akan diputuskan Frost yang akan melapor diri pada 1 Mac ini selaku Pengarah Teknikal BAM yang baharu.

Enam jurulatih utama tersebut adalah Rashid Sidek dan Teu Seu Bock (perseorangan lelaki, Pang Cheh Chang (beregu lelaki), Wong Tat Meng (perseorangan wanita), Rosman Razak (beregu wanita) dan Jeremy Gan (beregu campuran).

Dalam pada itu, Jeremy Gan yang sebelum ini menjadi jurulatih beregu campuran akan menguruskan pembangunan semula pasukan beregu sebagai persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa tahun ini.



No comments:

Post a Comment