Tuesday, January 13, 2015

BWF, Total Jalin Kerjasama Penganjuran Kejohanan

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini mengumumkan menjalin kerjasama dengan syarikat gergasi tenaga global, Total, selama tiga tahun, mulai tahun ini, untuk menganjurkan kejohanan utama BWF dan MetLife BWF World Superseries.

Presiden BWF Poul-Erik Hoyer Larsen dalam satu kenyataan berkata Total akan menaja semua acara utama hingga 2018, bermula dengan Kejohanan Badminton Dunia 2015 di Jakarta, Indonesia, Piala Sudirman di Dongguan, China serta kejohanan Akhir Piala Thomas dan Piala Uber di Kunshan, China pada tahun depan.

"Kini, sebuah daripada syarikat gergasi dalam industri tenaga global akan berganding bahu dengan kami dan saya yakin badminton akan mendapat manfaat daripada gandingan ini.

"Badminton dan Total sedang berkembang di peringkat global serta berkongsi peluang sama rata, integrasi tempatan dan inovasi berterusan.

"Ini merupakan gandingan menarik bagi kami, yang berlandaskan falsafah kukuh bagi mencerminkan kesungguhan kami untuk meletakkan badminton di pasaran korporat.

"BWF yakin hubungan dengan rakan terbaharunya ini akan berpanjangan dan memberi banyak manfaat," kata Hoyer Larsen.

Sementara itu, naib presiden kanan Total Marketing & Services Asia Pacific Francois Dehodencq berkata syarikat itu amat gembira kerana berpeluang menjadi syarikat tenaga global pertama berganding bahu dengan BWF dalam usaha memajukan lagi sukan badminton.

"Kejohanan kelas dunia yang dihoskan BWF terdiri daripada kejohanan melibatkan acara perseorangan dan berpasukan, yang menampilkan penyertaan atlet elit dari seluruh dunia.

"Lagipun, hampir 80 peratus pemenang pingat Olimpik dalam sukan badminton adalah dari Asia Pasifik, rantau di mana Total komited untuk meningkatkan kehadirannya," kata beliau.

Kerjasama bernilai berjuta-juta dolar dengan BWF ini membuka lembaran baharu bagi Total, yang selama ini memberi fokus utama terhadap kegiatan penjenamaannya dalam arena sukan bermotor.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment