Thursday, January 08, 2015

Bicara Chong Wei bulan depan - Utusan



KUALA LUMPUR - Selepas dua kali tertangguh, isu doping melibatkan pemain No. 2 dunia, Datuk Lee Chong Wei dijangka selesai dalam masa terdekat selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bersetuju untuk mengadakan perbicaraan awal bulan depan.

Perbicaraan kes Chong Wei pada awalnya dijadual diadakan di Ams­terdam, Belanda pada 8 Disember lalu, namun ditunda atas permintaan peguam pemain tersebut, Mike Morgan tetapi ditukar kepada 12 Januari, 2015, sebelum sekali lagi ditunda ke tarikh baharu.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, proses pengumpulan bukti sudah masuk ke fasa akhir dengan hampir 80 hingga 90 peratus bahan bukti yang akan digunakan bagi perbica­raan kes tersebut berjaya dikumpul.

“Selepas dua kali penangguhan, BWF sudah meluluskan permohonan kami untuk mendapatkan tarikh baharu kes perbicaraan dan andaian awal kami ia akan berlangsung awal Februari ini.

“Kira-kira 80 hingga 90 peratus bahan bukti untuk kes doping ini sudah disediakan dan kini sedang dalam proses akhir untuk mengumpul bukti-bukti lain sebelum bermulanya sesi perbicaraan.
“Apa yang boleh saya katakan ialah kita akan berusaha untuk mendapatkan keputusan terbaik bagi menyelesaikan kes ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan di manakah perbicaraan kes itu akan berlangsung.

Chong Wei digantung sementara oleh BWF setelah keputusan sampel B ujian doping yang dilakukan di makmal Hospital Universiti Oslo, Norway pada 5 November lepas disahkan positif mengandungi dadah dexamethasone.

Dia didapati positif ketika bertanding dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos tahun lalu.


No comments:

Post a Comment