Thursday, January 08, 2015

Beng Hai dah ada nama 14 pemain - Utusan



 KUALA LUMPUR – Jurulatih skuad hoki kebangsaan, Tai Beng Hai ha­nya memerlukan empat pemain lagi untuk melengkapkan skuad yang bakal beraksi dalam kejohanan Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua yang berlangsung di Singapura, bermula Sabtu depan.

Menurut jurulatih itu, ketika ini hanya 14 pemain sudah mengesahkan tempat mereka dalam skuadnya, manakala pemain lain masih mempunyai peluang untuk membuktikan kemampuan dalam tempoh dua hari ini untuk merebut baki empat slot.

“Saya tidak mahu memberitahu nama pemain yang sudah berada dalam bayangan, namun saya ha­nya boleh beritahu pemain-pemain yang mempunyai kepakaran individu seperti Muhammad Razie Abd. Rahim, Faizal Saari, Muhammad Firhan Ashaari akan bersama pasukan.

“Pemain berpengalaman juga antara yang sudah pasti berada dalam skuad, manakala selebihnya kita tunggu saja pengumuman Jumaat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Aksi Liga Hoki Dunia di Singapura bakal menjadi penentu sama ada skuad hoki negara berupaya meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2016 atau sebaliknya.

Malaysia diundi bersama Ukraine, Oman dan Fiji dalam Kumpulan A, manakala Kumpulan B dibarisi tuan rumah Singapura, Poland, Jepun dan Bangladesh.
Sementara itu Beng Hai berkata, format baharu perlawanan yang bakal digunakan memaksa pasukan negara memberi tumpuan serius terhadap aksi pukulan penalti shoot out.

“Pada saingan di Singapura nanti tiada istilah seri kerana apabila seri kemenangan terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti shoot out.

“Saya percaya semua pemain mampu membiasakan diri dengan format baharu ini kerana kita perlu menghadapinya dengan baik andai mahu menghidupkan peluang ke Sukan Olimpik,” kata Beng Hai.



No comments:

Post a Comment