Tuesday, January 06, 2015

Beng Hai Beri Amaran Pemain Perlu Jaga Disiplin

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Ketua Jurulatih Skuad Hoki Kebangsaan Tai Beng Hai hari ini memberi amaran kepada anak buahnya supaya menjaga disiplin mereka untuk diberi peluang beraksi di pusingan kedua Liga Hoki Dunia di Singapura yang bermula 17 Jan ini.

Beng Hai berkata beliau menilai pemain bukan secara individu tetapi sebagai satu pasukan walaupun terpaksa mengetepikan pemain yang berpengalaman.

"Kita tidak boleh mementingkan individu tetapi perlu dilihat dalam aspek sepasukan. Satu mesej untuk pemain pemilihan dibuat dari segi kedatangan sesi latihan dan komitmen.

Semua pemain mesti tahu perkara ini dan tiada seorang pun yang terkecuali kerana saya tak pentingkan individu, kalau nak main kena datang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan Malaysia menentang Poland di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil petang tadi.

Beng Hai berkata penyerang sensasi, Faizal Saari tidak hadir pada sesi latihan pagi skuad hoki senior negara dan tidak dibenarkan beraksi pada sesi pemilihan pemain yang diadakan di sebelah petang menentang Poland yang berkesudahan seri 4-4.

Hukuman itu dilihat sedikit sebanyak boleh menjejaskan peluang Faizal untuk terpilih dalam kalangan senarai akhir 18 pemain ke pusingan kedua Liga Hoki Dunia itu.

"Kalau tak datang, dia tak akan diberikan peluang. Pemain yang lebih komited dan berdisiplin akan diberi peluang. Saya dah beritahu mereka tidak boleh main-main, " katanya.

Selain Faizal, Beng Hai memberitahu bahawa Mohd Fitri Saari dan Nabil Fiqri Mohd Noor juga tidak hadir pada sesi latihan pagi itu dan mereka tidak diturunkan dalam perlawanan petang tadi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment