Monday, January 19, 2015

BAM perlu perubahan radikal – Khairy




REMBAU - m ahu atau pun tidak, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) harus melalui pendekatan radikal supaya negara ini terus berada dalam kedudukan yang digeruni di peringkat antarabangsa, sekali gus mencipta kejayaan besar di gelanggang.


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, mesej yang di­sampaikan oleh Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Arif untuk melakukan perubahan menyeluruh dalam sukan itu amat disokong dan lonjakan itu perlu dibuat segera.
“Mesej presiden (BAM) itu betul yang mana perlu ada pendekatan radikal. Maka sebab itulah saya bersetuju dengan pelantikan legenda badminton Denmark, Morten Frost Hansen sebagai Pengarah Teknikal BAM.


“Individu itu amat relevan dan sesuai untuk jawatan berkenaan dan saya amat berharap dia dapat menyusun semula aspek kejurulatihan BAM,” katanya di Rantau, dekat sini semalam.
Morten Frost akan mula ber­khidmat pada Mac ini. Beliau pernah berkhidmat dalam sukan badminton tempatan dari 1997 hingga 2000 dan berjaya melahirkan pemain badminton ternama negara seperti Wong Choon Hann, James Chua dan Lee Tsuen Seng.


Namun begitu, tambah Khairy, selain soal kejurulatihan, akademi badminton yang sedang dibina oleh Kementerian Belia dan Sukan juga mempunyai tugas besar.
“Selepas siap, akademi itu akan dijadikan pusat pembangunan pemain dan bakat dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

“Jadi, dengan tiga perkara utama diambil perhatian dalam sukan badminton iaitu aspek kejurulatihan di bawah (penyeliaan) Morten Frost, akademi badminton dan program pembangunan, saya optimis sukan itu boleh dilonjakkan dengan lebih agresif selepas ini.

“Apa pun, saya akan umumkan secara rasmi berkaitan program holistik itu apabila Morten Frost tiba di negara ini dan memulakan tugasnya,” ujarnya lagi.

Pada 6 Januari lalu, Tengku Mahaleel berkata, Morten Frost diberi kebebasan sepenuhnya untuk menentukan barisan jurulatih yang dikehendaki mengikut laporan penilaian prestasi komprehensif yang dijalankan oleh beberapa pihak.

Kata Tengku Mahaleel, apabila Morten Frost datang, BAM akan berbincang dan menentukan siapa akan mengetuai bahagian mana berdasarkan kepada laporan komprehensif yang disediakan Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), anggota majlis BAM dan ketua jawatankuasa kejohanan.

Dalam pada itu, Khairy juga mahu menyaksikan pendekatan jangka pendek dilaksanakan pada waktu ini iaitu meningkatkan pres­tasi pemain perseorangan negara untuk menggantikan Datuk Lee Chong Wei, begitu juga kemampuan pemain beregu lelaki dan wanita.

“Saya meletakkan harapan kepada pemain berbakat dalam BAM, bukan sahaja berjaya di Sukan SEA tetapi hendaklah hingga berjaya dan meraih pingat di Sukan Olim­pik,” katanya.

Mengenai kekosongan jawatan Pesuruhjaya Sukan, beliau berkata, perkembangan itu akan diumumkan sebaik sahaja calon berkelayakan ditemukan.

“Saya telah mengarahkan Timbalan Pesuruhjaya Sukan untuk menjalankan tugas itu. Buat masa ini tidak ada masalah dari segi pentadbiran dan kuasa itu telah diturunkan kepada pegawai di Pejabat Suruhanjaya Sukan,” kata beliau. 

Kerusi Pesuruhjaya Sukan kosong berikutan penyandangnya, Ahmad Shapawi Ismail dilantik sebagai Ketua Pengarah MSN yang baharu, berkuat kuasa 19 Disember lalu, menggantikan Datuk Seri Zolkples Embong yang diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.




FARABI SHEIKH SAID AL JABRI - UTUSAN
 

 

No comments:

Post a Comment