Monday, January 26, 2015

BAM Mahu Kejohanan Badminton Tempatan Diperbanyak, Cari Pelapis Berpotensi

GEORGE TOWN, 24 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu segera mempertingkat dan mengembangkan asas termasuk memperbanyak bilangan kejohanan tempatan bagi melahirkan lebih ramai pemain pelapis dalam sukan badminton.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata pada masa ini, negara hanya mempunyai 1,800 pemain yang aktif menyertai kejohanan berbanding 3,800 pemain di China.

"Di Malaysia, kita mempunyai 1,800 pemain yang aktif menyertai kejohanan dan kira-kira 34 pemain dalam skuad kebangsaan untuk dipilih mewakili negara. China mempunyai 3,800 pemain yang aktif, maka lihat sejauh mana kita berbanding pasukan utama.

"Kita mesti segera membina asas (melahirkan pemain), asas kita sangat kecil...kita kena besarkan. Kalau tidak dikembangkan, peluang mencari bakat baharu itu kurang," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 bekas pemain badminton kebangsaan Datuk Teh Kew San, di sini hari ini.

Tengku Mahaleel berkata kerjasama pelbagai pihak seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan sangat diperlukan bagi menganjur dan memperbanyakkan kejohanan di peringkat sekolah dan negeri.

Beliau berkata penganjuran liga profesional badminton pertama di Malaysia, Liga Kopiko Purple, adalah sangat tepat pada masanya dan satu usaha yang baik dalam melahirkan pemain pelapis.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sudah mempunyai perancangan bagi tempoh 2015 hingga 2020 untuk pasukan badminton negara dan kehadiran Morten Frost Hansen dari Denmark sebagai Pengarah Teknikal baharu BAM mampu memperbaiki mutu permainan setiap pemain.

"Matlamat kami adalah sentiasa berada dalam kelompok tiga teratas di dunia," katanya.

Mengulas perkembangan isu doping membabitkan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Tengku Mahaleel berkata pihaknya sedang menunggu tarikh perbicaraan kes berkenaan yang masih belum ditetapkan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment