Tuesday, January 06, 2015

Badminton negara di tangan Frost - Kosmo



BEKAS pemain dan jurulatih Denmark, Morten Frost yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1997 hingga 2000 telah disahkan menjadi Pengarah Teknikal baharu BAM bermula 1 Mac depan.

Kehadirannya bakal menyaksikan perubahan struktur kejurulatihan badminton seperti mana yang telah disahkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff bahawa persatuan itu akan memberikan kebebasan kepada Frost, 56, membuat keputusan siapa yang beliau mahu untuk menyertainya di BAM.

Bagaimanapun, Tengku Mahaleel menegaskan, keputusan menentukan siapa jurulatih yang akan kekal itu akan dilakukan berdasarkan laporan penilaian prestasi dan perbincangan dia dengan jurulatih-jurulatih tersebut. 

“Morten Frost mesti datang, tidak mungkin dia tidak faham (laporan penilaian), malah saya percaya dia akan setuju dan mungkin akan menambah sedikit input tetapi perbezaannya tidak banyak. Saya percaya daripada laporan ini tidak banyak yang akan ‘lari’.

“Semua jurulatih ada kontrak dan apabila dia mengetahui dia punya hala tuju, memang dia tidak akan risau. Saya rasa mereka tidak akan rasa perkara ini sebagai satu masalah sebab mereka yakin dengan prestasi masing-masing,” kata Mahaleel semalam.

Beliau berkata sedemikian selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan BAM dan pertemuan dengan jurulatih-jurulatih di pejabat BAM di Bukit Kiara semalam.

Pada Sabtu lalu, Kosmo! melaporkan jurulatih skuad badminton negara berada dalam dilema apabila kontrak mereka hanya disambung selama tiga bulan selepas tamat pada 31 Disember lalu.
Keputusan BAM itu diputuskan tanpa mengadakan pertemuan dengan barisan jurulatih terbabit, malah mereka dilaporkan kontrak lanjutan akan diputuskan oleh Frost yang akan melapor diri pada 1 Mac ini sebagai Pengarah Teknikal BAM yang baharu.

Enam jurulatih utama yang mendapat e-mel berkenaan lanjutan kontrak mereka ialah Rashid Sidek dan Teu Seu Bock untuk perseorangan lelaki, Pang Cheh Chang (beregu lelaki), Wong Tat Meng (perseorangan wanita), Rosman Razak (beregu wanita) dan Jeremy Gan (beregu campuran).

Mengulas mengenai perkara itu, Tengku Mahaleel berkata, kontrak sementara itu diberikan kerana khidmat mereka masih diperlukan untuk persiapan menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura Jun depan termasuk beberapa kejohanan antarabangsa.

Jelasnya lagi, jika ada jurulatih yang tidak menepati kehendak Frost, jurulatih tersebut akan diberikan kontrak tiga bulan lagi iaitu sebagai peluang terakhir kepada mereka untuk mencari pekerjaan lain.
“Kami lanjutkan kontrak kerana Frost akan datang, dia akan membincangkan siapa yang terbaik (untuk kekal) dan sebagainya. 

“Jika tidak disambung, kontrak sementara selama tiga bulan lagi akan ditawarkan kepada jurulatih terbabit, cuma sekarang mereka perlu bekerja untuk persiapan menghadapi Sukan SEA nanti,” tambah Mahaleel.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai gaji yang ditawarkan kepada Frost, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai enggan mendedahkannya kerana imbuhan yang bakal diterima oleh Frost terkandung dalam kontraknya dengan Kementerian Belia dan Sukan.

Begitupun sumber dalaman BAM memberitahu, dalam kontrak tersebut, Frost dilaporan bakal menerima gaji bulanan dalam lingkungan RM30,000 hingga RM40,000 namun prestasinya tetap dipantau kerana KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang telah ditetapkan kepada legenda badminton Denmark termasuk mengembalikan kegemilangan sukan badminton negara selain melahirkan labih ramai jaguh yang mampu menakluk badminton dunia.



khsan.azmi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment