Friday, January 23, 2015

Azlan Intai Penampilan Sulung Pada Sukan Olimpik 2016


SINGAPURA, 22 Jan (Bernama) -- Pemain veteran Azlan Misron mahu melengkapkan kariernya dalam sukan hoki dengan membuat penampilan sulungnya pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan.

Selepas membuat penampilan ke-350 buat skuad negara pada perlawanan menentang Mexico pada suku akhir pusingan kedua Liga Hoki Dunia di sini hari ini, pemain pertahanan itu tidak mahu melepaskan peluang menjejak kaki ke Rio de Janeiro.

Selepas mula mewakili negara pada 2001, skuad hoki negara tidak layak ke Sukan Olimpik di Athens pada 2004, 2008 di Bejing dan 2012 di London.

Bagaimanapun, pemain berusia 32 tahun itu berazam mahu meningkatkan lagi prestasinya pada Liga Hoki Dunia di sini untuk membantu skuad kendalian Tai Beng Hai itu layak ke Sukan Olimpik 2016.

"Masa saya mula-mula sertai skuad kebangsaan pada 2001, pasukan sedang membuat persediaan untuk Piala Dunia 2002 di Malaysia, kita berada di ranking ke-10 dunia.

"Tetapi semenjak itu, prestasi pasukan terumbang-ambing dan ranking turut merosot," katanya kepada pemberita selepas pasukan negara menewaskan Mexico 10-1 pada saingan suku akhir di sini.

Azlan berkata beliau bersyukur sekiranya khidmatnya masih diperlukan untuk menggalas cabaran negara pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2016 dan seterusnya melakukan penampilan sulungnya di Rio de Janeiro nanti.

Memang saya tidak mahu melepaskan peluang untuk membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik 2016, katanya.

Pada peringkat separuh akhir Sabtu ini, Malaysia akan menentang Jepun.

Jepun melangkah ke separuh akhir selepas membenam Ukraine 5-0 pada satu lagi perlawanan suku akhir di sini Khamis.

Tiga pasukan terbaik di sini akan layak ke pusingan ketiga iaitu peringkat separuh akhir Liga Hoki Dunia di Belgium dan Argentina pada Jun ini.

Pemilihan pasukan ke Sukan Olimpik 2016 berdasarkan enam pasukan teratas Liga Hoki Dunia, pasukan tuan rumah dan lima pasukan juara benua.

Malaysia kali terakhir beraksi di Sukan Olimpik pada tahun 2000 di Sydney dan menduduki tangga ke-11.



Daripada Karina Imran -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment