Tuesday, January 13, 2015

ACC 2015 Beri Peluang Atlet Berbasikal Sertai Kejohanan Trek Dunia UCI 2015

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-35 di Nakon Ratchasima, Thailand yang akan diadakan pada 4 hingga 14 Feb ini beri peluang keemasan kepada atlet Malaysia untuk melayakkan diri ke Kejohanan Trek Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Kejohanan dunia itu akan diadakan di Saint Quentin En Yvelines, Perancis dan dijadual berlangsung bermula pada 18 hingga 22 Feb ini.

"ACC 2015 bakal memberi peluang terbaik kepada atlet berbasikal negara yang belum melayakkan diri ke kejohanan dunia untuk menampilkan persembahan terbaik mereka.

"Mereka harus cuba memenangi kedudukan podium pertama bagi melayakkan diri sebagai juara benua Asia," kata Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad dalam kenyataan, hari ini.

Naim berkata perlumbaan trek kejohanan ACC 2015 dijadual berakhir pada 8 Feb, bermakna para atlet berbasikal masih mempunyai 10 hari sebagai persiapan ke Kejohanan Trek Dunia UCI.

Sebanyak sembilan atlet berbasikal wanita dan 19 atlet lelaki akan turut serta dalam kejohanan di Thailand itu.

Antara atlet berbasikal lelaki ialah Josiah Ng, Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Firdaus Mohd Zionis manakala atlet wanita pula ialah Fateha Mustapa, Jupha Somnet dan Farina Shah Wati Mohd Adnan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment