Thursday, January 08, 2015

61 temasya tawar mata ke Rio - Harian Metro



Kuala Lumpur: Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) mengenal pasti 61 kejohanan antarabangsa yang menawarkan mata ranking untuk layak ke Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Pengarah Cawangan Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff berkata kejohanan antarabangsa itu melibatkan 13 jenis sukan, antaranya olahraga dan memanah.
Selain menyertai kejohanan antarabangsa, beliau berkata atlet elit paralimpik negara akan meneruskan program latihan lebih intensif.

“Kita kenal pasti 61 pertandingan antarabangsa bagi membolehkan atlet elit paralimpik kita mengumpul mata ranking terbaik untuk layak secara merit ke Rio,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan penghargaan daripada sebuah syarikat katering kepada skuad olahraga paralimpik yang beraksi cemerlang pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada Oktober tahun lepas.

Skuad olahraga paralimpik menyumbangkan 10 daripada 15 pingat emas yang diraih kontingen Malaysia pada temasya sukan itu.

Sementara itu, pemilik Katering Megah Selera yang beroperasi di Bukit Jalil, Abd Nassair Abd Ghani berkata sumbangan wang penghargaan berjumlah RM22,000 itu ikhlas daripada beliau terhadap pengorbanan atlet kelainan upaya dalam mengharumkan nama negara.

“Saya melihat sendiri kegigihan dan kesungguhan mereka menjalani latihan setiap kali saya berjoging sekitar kawasan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

“Saya sendiri teruja melihat sesi latihan mereka di Stadium Mini MSN. Apatah lagi sesi latihan yang dikendalikan oleh bekas atlet yang menjadi idola saya suatu masa dahulu iaitu Norsyam Yon,” katanya. 

Pada majlis itu, Mohammad Azlan Mat Lazin menjadi penerima sumbangan terbanyak selepas meraih tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 400m Lelaki T36 (cerebral palsy) di Incheon.
“Saya berterima kasih atas sumbangan ini. Saya mahu terus mencipta kejayaan untuk layak ke Rio pula,” katanya. 



- BERNAMA

No comments:

Post a Comment