Thursday, January 08, 2015

61 Kejohanan Peluang Atlet Ke Sukan Paralimpik 2016 - Bernama


KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) mengenal pasti 61 kejohanan antarabangsa yang boleh menawarkan mata ranking kepada atlet untuk layak ke Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, Mohd Safrushahar Yusoff berkata kejohanan antarabangsa itu melibatkan 13 jenis sukan, antaranya olahraga dan memanah.

Selain menyertai kejohanan antarabangsa, beliau berkata atlet elit paralimpik negara akan meneruskan program latihan lebih intensif di Kuala Lumpur.

"Kita kenal pasti 61 pertandingan antarabangsa bagi membolehkan atlet elit paralimpik kita mengumpul mata ranking terbaik untuk kelayakan secara merit ke Sukan Paralimpik Rio de Janeiro," katanya kepada BERNAMA, Rabu.

Mohd Safrushahar ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan penghargaan daripada sebuah syarikat katering kepada skuad olahraga paralimpik yang beraksi cemerlang pada Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan, Oktober tahun lepas.

Skuad olahraga paralimpik menyumbangkan 10 daripada 15 pingat emas yang diraih kontingen Malaysia pada temasya sukan tersebut.

Sementara itu, pemilik Katering Megah Selera yang beroperasi di Bukit Jalil, Abd Nassair Abd Ghani berkata sumbangan wang penghargaan berjumlah RM22,000 itu ikhlas daripada beliau terhadap pengorbanan atlet kelainan upaya dalam mengharumkan nama negara.

"Saya melihat sendiri kegigihan dan kesungguhan atlet kelainan upaya menjalani latihan setiap kali saya berjoging sekitar kawasan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

"Saya sendiri teruja melihat sesi latihan yang mereka adakan di Stadium Mini MSN. Apatah lagi sesi latihan yang dikendalikan oleh bekas atlet yang menjadi idola saya suatu masa dahulu iaitu Norsyam Yon," katanya.

Pada majlis itu, Mohammad Azlan Mat Lazin menjadi penerima sumbangan terbanyak selepas berjaya meraih tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 400m Lelaki T36 (cerebral palsy) di Sukan Para Asia Incheon.

"Saya berterima kasih atas sumbangan ini. Saya mahu terus mencipta kejayaan untuk layak ke Sukan Paralimpik Rio de Janeiro," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment