Thursday, December 04, 2014

Separuh Akhir Piala AFF Di Stadium Shah Alam - Khairy

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki antara Harimau Malaya dan Vietnam akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Ahad ini berikutan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang masih belum sempurna untuk digunakan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata walaupun padang Stadium Nasional sudah dibaik pulih selepas perlawanan final Piala Malaysia antara Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) bulan lepas, padangnya masih belum boleh digunakan.

"Saya sudah pergi tengok padang itu beberapa hari lepas, keadaan sudah bertambah baik...cuma ada beberapa perkara saya tidak puas hati terutamanya keadaan rumput di bahagian penjuru padang.

"Jadi saya dan Datuk Hamidin Mohd Amin (Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia) bersetuju untuk gantikan Stadium Shah Alam sebagai venue baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kemahiran Keusahawanan Wanita Gerakan Tindakan Afirmatif Baharu (NAAM) di sini Selasa.

Program yang bertujuan menggalakkan pertambahan pendapatan kepada wanita itu telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Proses pembaikpulihan rumput di padang berkenaan memerlukan masa yang lebih lama untuk berada pada tahap kualiti yang sepatutnya. Padang itu akan terus dibaiki sehingga ia betul-betul sesuai digunakan semula," katanya

Khairy juga berkata tidak berlaku sebarang pertambahan dana untuk membaiki padang berkenaan selepas proses baik pulih keseluruhan stadium berkenaan yang telah dimulakan sejak Oktober tahun lepas dengan anggaran kos RM1.5 juta.

Malaysia berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala AFF Suzuki selepas mempamerkan prestasi cemerlang ketika membenam juara bertahan, Singapura 3-1 di Stadium Nasional Kallang, Singapura, Sabtu lepas.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment