Monday, December 01, 2014

Risikan Kim Swee

Kuala Lumpur: Intipan dilakukan pengendali Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee bakal menjadi senjata terbaik buat Harimau Malaya kendalian Dollah Salleh menangani saingan Vietnam di pentas separuh akhir Piala AFF.

Kim Swee dihantar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi meninjau saingan Kumpulan A di Hanoi yang menyaksikan tuan rumah dan Filipina melangkah ke separuh akhir selaku juara dan naib juara Kumpulan A.

Pengendali berusia 43 tahun itu berpeluang melihat secara dekat tiga aksi Vietnam kendalian jurulatih dari Jepun Toshiya Miura yang menyaksikan mereka mencatatkan dua kemenangan dan satu seri.
Ternyata lawan yang pernah menjulang Piala AFF pada 2008 itu tidak boleh dipandang mudah kerana mempunyai sejumlah pemain pantas, berkemahiran tinggi dan bijak memanfaatkan peluang terhidang.

“Saya melihat Vietnam kali ini berbeza berbanding edisi sebelumnya. Mereka banyak melakukan gerakan pantas ke bahagian depan selain bahagian sayap yang laju.

“Sentuhan jurulatih Jepun itu nyata berbeza apabila menggunakan pendekatan hantaran pendek bagi membantu meningkatkan persembahan pasukan mereka.

“Secara keseluruhannya mereka masih mengekalkan pemain sama seperti sebelum ini, namun kelihatan semakin matang. Selain itu pemain negara tidak boleh memberi ruang di depan kotak penalti kerana beberapa gol Vietnam jaringkan adalah menerusi percubaan jarak jauh,” katanya.
Jelas Kim Swee, antara pemain yang mencuri perhatiannya penyerang Van Quyet Nguyen kerana pemain kelab Hanoi T&T itu mempunyai kemampuan menggelecek yang bagus selain diberikan peranan bebas bergerak ke kiri dan kanan.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna lawan terlalu hebat untuk ditumbangkan dengan Kim Swee menjangkakan kemampuan mengekang beberapa pemain lawan di samping percaturan taktikal yang tepat akan memastikan kemaraan Harimau Malaya.

“Jika diperhatikan Vietnam mempunyai kelemahan di bahagian kiri dan kanan pertahanan. Buktinya mereka dibolosi ketika menentang Filipina dan Indonesia menerusi kedua-dua bahagian itu,” katanya.
Vietnam membuka saingan Kumpulan A dengan seri 2-2 bersama Indonesia disusuli kemenangan 3-0 dan 3-1 ketika bertemu Laos dan Filipina.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment