Thursday, December 04, 2014

Perlawanan Malaysia-Vietnam Mula 8 Malam, Ahad Ini

PETALING JAYA, 2 Dis (Bernama) -- Perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Ahad ini, akan bermula pukul 8 malam dan bukan 8.45 malam seperti kebiasaan di negara ini.

Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), selaku penganjur kejohanan, berkata waktu perlawanan ditetapkan bagi memberi laluan kepada kehendak siaran televisyen luar negara.

Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad berkata kejohanan tersebut merupakan perlawanan antarabangsa dan Malaysia, selaku tuan rumah separuh akhir, perlu mematuhi jadual yang dipersetujui oleh semua pihak.

"Kita tidak boleh mengubah waktu tersebut kerana ianya bakal menimbulkan masalah seperti waktu siaran stesen televisyen luar negara," katanya pada sidang media di Wisma FAM di Kelana Jaya, dekat sini pada Selasa.

Sebelum itu, beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Separuh Akhir Pertama Piala AFF Suzuki 2014 di sini.

Azzuddin berkata stesen penyiaran luar negara telah menetapkan waktu siaran masing-masing dan telah menempah satelit untuk siaran langsung dan ia tidak boleh diubah.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jualan tiket dalam talian pada hari pertama hari ini amat memuaskan apabila sebanyak 8,000 tiket telah dijual sebaik jualan tiket dalam talian dibuka pada pukul 10 pagi tadi.

Hamidin berkata jualan 70,000 tiket itu tidak terhad kepada rakyat Malaysia sebaliknya dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyaksikan perlawanan tersebut termasuk penyokong Vietnam.

Beliau berkata FAM memandang serius dengan aspek keselamatan di stadium daan dijangka sebanyak 1,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlibat pada hari perlawanan dan orang ramai diminta tidak membawa bahan-bahan terlarang seperti 'Suar' mahu pun mercun yang boleh membahayakan orang ramai.

"Kita akan membuat pemeriksaan rapi... Jadi saya memohon agar semua penyokong memberi kerjasama," katanya.

Pasukan Harimau Malaya berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki selepas menewaskan Singapura 3-1 pada aksi penutup tirai peringkat Kumpulan B pada Sabtu lalu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment