Thursday, December 04, 2014

Pemain Harimau Malaya Perlu Amal Gaya Hidup Sihat

KUANTAN, 2 Dis (Bernama) -- Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan agar pemain skuad Harimau Malaya menjaga disiplin serta mengamalkan budaya hidup sihat bagi memastikan kejayaan pasukan itu melangkah ke final Piala AFF Suzuki 2014.

Baginda bertitah sebagai atlet, mereka seharusnya meninggalkan gaya hidup kurang sihat dan perlu terus fokus agar prestasi permainan dapat ditingkatkan.

"Saya dimaklumkan saudara Safee Sali merokoklah, inilah. Saya ingat janganlah merokok, kalau mahu kekal cergas mesti jaga kesihatan, tidur awal, berfikiran positif, makan yang baik, inilah faktor-faktor untuk jadi juara.

"Kalau ini dapat diberi tumpuan saya yakin mereka akan berjaya," titah baginda kepada pemberita selepas menghadiri taklimat persiapan banjir oleh kerajaan negeri di Wisma Sri Pahang, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Daruk Seri Muhammad Safian Ismail.

Sebelum ini penyerang kebangsaan, Safee Sali menerima kritikan hebat selepas gambarnya menghisap rokok menjadi viral di laman sosial sewaktu kempen negara dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2014 masih berlangsung di Singapura.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemain itu sudah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulagi perbuatannya, namun sekiranya dia ditangkap melakukan perkara tersebut sekali lagi tindakan tatatertib akan dikenakan.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menegaskan bahawa kejayaan mara ke peringkat separuh akhir hanyalah satu permulaan dalam kempen kali ini dan sasaran pihaknya sejak mula adalah supaya pasukan negara mara ke final.

"Perjuangan hanya bermula di peringkat separuh akhir, katalah pasukan Dollah Salleh tidak sampai ke peringkat ini, itu merupakan satu kegagalan... Dia tahu saya punya sasaran masuk ke final dahulu.

"Kita tengok rekod kita sejak tahun 2008, kita memang sukar untuk menentang Vietnam tapi mungkin tahun ini memihak kepada kita, mesti ada keyakinan dan saya harap mereka (Harimau Malaya) dapat bangkit," titah baginda.

Skuad negara akan memulakan aksi separuh akhir pertama menentang pasukan Vietnam di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment