Wednesday, December 10, 2014

Misi Buru Pingat Pertama AUG Bermula Rabu

PALEMBANG, 9 Dis (Bernama) -- Misi memburu pingat pertama Malaysia di Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di sini, bermula Rabu menerusi acara taekwondo di Pusat Promosi Sriwijaya.

Lima acara yang bakal dipertandingkan ialah poomsae individu lelaki, poomsae individu wanita, poomsae berpasangan, kategori 58kg lelaki dan bawah 68kg lelaki.

Jurulatih taekwondo negara, Moi Chee Keong berharap atlet kebangsaan dapat memperbaiki rekod dua tahun lepas di Vientiane, Laos dengan meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas pada edisi kali ini.

Moi juga yakin kejayaan meraih sembilan pingat emas pada Piala Jogjakarta 2014 baru-baru ini, menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk beraksi lebih cemerlang di sini.

Sebelas atlet taekwondo negara disenaraikan pada AUG kali ini. Di Laos, skuad negara sekadar meraih lima pingat gangsa.

-- BERNAMA

1 comment: