Thursday, December 04, 2014

Malaysia Mula Kempen Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia Dengan Bergaya

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Malaysia memulakan kempen Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2014 dengan cemerlang selepas memperoleh dua kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan C di Pusat Skuasy Mark Sachvie, Ontario, Kanada.

Skuad negara diketuai pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David mencapai kemenangan selesa 3-0, masing-masing keatas tuan rumah, Kanada dan Mexico, lewat Isnin, menurut laman web kejohanan www.wwt2014squash.com.

Dalam perlawanan pertama menentang Kanada, pemain nombor dua negara, Low Wee Wern menghadiahkan mata pertama dengan mengalahkan Danielle Letourneau 11-6, 11-2 dan 11-5.

Bagaimanapun, Nicol menerima tentangan sengit daripada Samantha Cornett sebelum menguumpul mata kedua dengan 11-6, 11-8, 9-11 dan 11-3 sebelum Delia Arnold mengesahkan kemenangan negara dengan mengatasi Niki Todd dengan 11-6, 12-10 dan 11-5.

Dalam perlawanan kedua menentang Mexico, Wee Wern sekali lagi bertindak cemerlang dengan menewaskan Nayelly Hernandez 11-5, 11-6 dan 11-3 untuk mengutip mata pertama negara diikuti Nicol yang menumpaskan Diana Garcia 11-5, 11-3 dan 11-4.

Delia mengesahkan kemenangan kedua negara selepas dengan mudah mengatasi Karla Urrutia 11-4, 11-3 dan 11-5.

Malaysia, selaku pasukan pilihan ketiga, akan berdepan dengan Guatemala, lewat Selasa sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang pilihan keenam, Amerika Syarikat, Rabu ini.

Mengikut format kejohanan, dua pasukan teratas dalam setiap daripada empat kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir, Khamis.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik negara ialah tempat ketiga pada empat edisi sebelum ini iaitu pada 2006, 2008, 2010 and 2012.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment