Tuesday, December 02, 2014

Malaysia Kutip Empat Mata, Tewaskan Pasukan Eropah 4-0

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Skuad badminton negara berjaya mengutip empat mata penuh selepas menewaskan pasukan jemputan dari Eropah 4-0 pada aksi kelima pusingan awal Kejohanan Piala Axiata 2014 di Bratama Arena, Jakarta, pada Isnin.

Malaysia kini berada di kedudukan keempat dengan kutipan keseluruhan 11 mata.

Indonesia masih mengungguli carta kedudukan dengan mengumpul 18 mata diikuti Thailand dengan 15 mata, manakala tempat ketiga milik pasukan Asia All Star yang mengutip 12 mata.

Pemain perseorangan lelaki, Liew Daren menyumbangkan mata pertama Malaysia selepas menundukkan pemain Perancis, Brice Leverdez 21-13, 14-21 dan 21-18.

Kejayaan itu membakar semangat pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi untuk mencatatkan kemenangan pertama selepas tumpas dalam kesemua empat perlawanan sebelum ini.

Pemain muda negara itu menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mengalahkan pemain ranking ke-23 dunia, Kirsty Gilmour dari Scotland 21-11, 14-21 dan 21-18.

Beregu lelaki negara, Tan Boon Heong/Tan Wee Kiong pula bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan beregu Rusia, Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov 21-23, 21-8 dan 21-12 untuk mencatat kemenangan ketiga Malaysia.

Beregu campuran, Chan Peng Soon/Lai Pei Jing melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia apabila menumpaskan gandingan Scotland, Robert Blair/Imogen Bankier 21-16, 23-21.

Malaysia, sebelum ini menang ke atas pasukan Vietnam dan Asia All Star dalam dua aksi awal namun tewas kepada Indonesia dan Thailand pada perlawanan ketiga dan keempat.

Kesemua pasukan masih berbaki dua perlawanan pusingan awal untuk merebut empat slot ke separuh akhir yang akan diadakan di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur pada 6 dan 7 Dis ini.

Malaysia akan berdepan Filipina manakala Indonesia bertemu pasukan jemputan dari Eropah pada perlawanan keenam, pada Selasa.

Kejohanan edisi kali ini masih mengekalkan format sama merangkumi lapan pasukan terdiri daripada enam negara dan dua pasukan jemputan mewakili Asia dan Eropah.

Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai pasukan dari Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Singapura serta dua pasukan jemputan, Asia All Star dan European All Star.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment