Tuesday, December 02, 2014

Lee Chong Wei masih kabur



KUALA LUMPUR – Ketika sesi perbicaraan kes doping melibatkan Datuk Lee Chong Wei dikatakan sudah semakin hampir, bintang badminton No.1 dunia itu bagaimanapun masih kabur kerana dia sendiri tidak tahu bila akan dipanggil atau di mana lokasi bakal dibicara. 

Chong Wei memberitahu, dia tidak boleh membuat sebarang ulasan mengenai tarikh atau tempat perbicaraan kes itu akan berlangsung memandangkan dia sendiri tidak mempunyai maklumat.
Katanya, kes tersebut diserahkan sepenuhnya kepada peguam, Mike Morgan.

“Sebelum ini banyak pihak menghubungi saya untuk berta­nyakan perkara ini, bukan saya tidak mahu jawab tetapi saya sendiri tidak tahu. 

“Peguam saya menguruskan segala-galanya,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kia­ra di sini semalam.

Kelmarin, Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohamad Norza Zakaria mengesahkan pihaknya ada mengemukakan permohonan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi mengubah tarikh perbicaraan dari 8 Disember ini kepada suatu tarikh lain.
Ia bagi membolehkan mereka mempunyai lebih masa untuk melakukan siasatan serta meneliti beberapa perkara.

Katanya, tarikh baharu bagi perbicaraan itu akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini selain turut mengesahkan kes itu akan dibicarakan di Amsterdam, Belanda.

Sementara itu, Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund juga enggan mengulas mengenai perkara itu dan hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas keputusan penuh dibuat.

“Segala-galanya tertakluk di bawah peraturan kami. Buat masa sekarang saya tidak boleh beri sebarang komen mengenai tarikh atau lokasi ia akan berlangsung.

“BWF hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas sesi perbicaraan dan keputusan dibuat,” katanya. 

-


NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR- Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment