Tuesday, December 02, 2014

Kantung MOM semakin menyusut


KUALA LUMPUR - Dana Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semakin susut apabila berbelanja hampir RM5 juta untuk tiga temasya sukan sejak Disember tahun lepas.

Dengan perbelanjaan itu tidak termasuk penyertaan dalam temasya yang lebih kecil seperti Sukan Belia Asia di Nanjing, China Ogos lalu dan Sukan Pantai Asia di Phuket baru-baru ini.

Baki di bank MOM amat membimbangkan dan kini menagih sokongan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk segera menampung kekurangan itu.

Seorang pegawai MSN berkata, MOM sudah menghantar tuntutan Sukan SEA di Myanmar yang berlangsung Disember tahun lepas. Tuntutan berkenaan berjumlah RM2.5 juta yang sebahagian besarnya merangkumi kos tiket pesawat dan penginapan.

“Kami hanya menerima tuntutan ini minggu lepas walaupun sudah setahun temasya itu berlangsung.
“Kami akan memprosesnya dengan segera terutama sekali mana yang boleh disokong,” katanya.
Amalannya, MOM dan MSN sentiasa bekerjasama dalam membiayai kos penyertaan dalam temasya sukan yang disertai kontinjen negara tetapi MSN lebih selektif dalam pembiayaan.

MOM juga berbelanja besar dalam Sukan Komanwel di Glasgow tahun ini terutama sekali kos tiket pesawat anggota kontinjennya yang difahamkan naik seratus peratus kerana lewat mengumumkan nama atlet.

Setakat ini tuntutan Sukan Komanwel yang dijangka berjumlah RM800,000 masih belum dihantar kepada MSN. 

Seorang eksekutif tinggi MOM juga mengumumkan bahawa tuntutan untuk Sukan Asia yang berlangsung di Incheon tahun ini dijangka melebihi sedikit daripada paras RM1.5 juta.


Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment