Monday, December 22, 2014

Kim Swee Mula Tugas Cari Pemain Ke Sukan SEA 2015

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee diberi tempoh sebulan bermula Mei depan, untuk menyediakan sebuah pasukan mantap bagi menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah berkata Kim Swee perlu memulakan tugasnya mencari pemain berpotensi untuk diserapkan dalam pasukan berkenaan, sebaik sahaja Liga Malaysia (Liga M) bermula Januari depan.

"Pasukan bawah 23 tahun itu dijangka memulakan latihan pusat bermula 1 Mei tahun depan kerana Sukan SEA dijadual berlangsung pada Jun.

"Kim Swee hanya ada sebulan untuk membentuk sebuah pasukan mantap," katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Khas FAM kali kedua penggal 2014-2018, di sini Jumaat.

Beliau juga menjelaskan bahawa pasukan bawah 22 tahun (Harimau Muda B) di bawah kendalian jurulatih, Razip Ismail diberi tugas dalam saingan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun.

Afandi berkata selepas beraksi dalam saingan kelayakan itu, pasukan Harimau Muda B akan meneruskan kempen mereka dalam Liga Singapura.

"Jadi Kim Swee sudah tidak terbeban untuk membawa dua pasukan (Harimau Muda A dan Harimau Muda B) dan dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, beliau ada masa mencari bakat baharu untuk ke Sukan SEA.

"Tugas Kim Swee ini sama macam tugas Dollah Salleh untuk membentuk pasukan Harimau Malaya. Beliau (Kim Swee) perlu menjelajah ke seluruh negara untuk mencari pemain yang berpotensi," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment