Thursday, December 11, 2014

Keselamatan Penyokong Malaysia Di Perlawanan Piala AFF Suzuki Di Hanoi Terjamin

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Kerajaan Vietnam memberi jaminan keselamatan penyokong Malaysia pada perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium My Dinh, Hanoi, pada Rabu.

Duta Besar Vietnam ke Malaysia Pham Cao Phong berkata penyokong Malaysia tidak harus bimbang hadir menyaksikan pertandingan walaupun insiden kekacauan berlaku pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam pada 7 Dis, dikesalkan.

"Apa yang berlaku di Stadium Shah Alam dikesalkan dan kami amat sedih melihat rakyat Vietnam diserang...Tetapi kami ada menerima panggilan telefon daripada Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan)...Kami bercakap mengenai hal itu.

"Kami jamin bahawa bila penyokong Malaysia datang ke Vietnam, mereka dialu-alukan.

"Vietnam adalah negara ramah mesra dan Malaysia amat rapat dengan kami...jiran dan 'saudara' dalam keluarga Asean," katanya kepada Bernama pada majlis meraikan permulaan tugas Duta Vietnam ke Malaysia, di sini pada Rabu.

Phong diminta mengulas mengenai kejadian baru-baru ini di mana penyokong Vietnam diserang penyokong Malaysia, semasa perlawanan Malaysia menentang Vietnam.

-- BERNAMA

1 comment: