Monday, December 01, 2014

Kejayaan Harimau Malaya Ke Separuh Akhir Tutup Mulut Pengkritik


SINGAPURA, 30 Nov (Bernama) -- Kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 menutup mulut pengkritik bola sepak tempatan yang sentiasa mempersoal kemampuan pasukan negara untuk melakar kemenangan di pentas antarabangsa.

Kemenangan bergaya 3-1 ke atas tuan rumah, Singapura di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, semalam, sudah tentu menggembirakan seluruh peminat bola sepak tanah air, sekali gus mencerahkan peluang Malaysia mengulangi kejayaan 2010 selepas menumpaskan Indonesia 4-2 secara agregat dalam perlawanan akhir.

Laungan puluhan ribu penyokong Singapura langsung tidak menggentarkan hampir 1,000 penyokong negara termasuk sebahagian besar penyokong tegar, Ultras Malaya yang sentiasa berada di belakang pemain ketika saat suka dan duka.

Lebih manis, skuad Harimau Malaya berjaya membalas dendam kekalahan 0-3 kepada lawan yang sama di hadapan puluhan ribu penyokong Malaysia pada edisi 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ramai pengkritik serta peminat bola sepak negara sebelum ini, mempersoal kemampuan skuad kendalian Dollah Salleh itu untuk melepasi peringkat kumpulan apatah lagi diundi bertemu juara tiga kali, Thailand serta Singapura selaku juara bertahan dan Myanmar.

Kegagalan demi kegagalan dalam beberapa aksi pemanas badan termasuk tumpas 0-3 kepada skuad Bawah 23 tahun Syria di Stadium Shah Alam pada 12 Nov lepas, turut membimbangkan peminat bola sepak tempatan.

Mengimbas pencapaian skuad Harimau Malaya pada edisi ke-10 kejohanan itu kali ini, mereka bermula dengan langkah hambar selepas terikat tanpa jaringan menentang Myanmar pada aksi pembukaan, 23 Nov lepas.

Langkah sumbang Malaysia berterusan selepas dikecewakan pada minit terakhir menerusi penyerang gantian Thailand, Adisak Kraisorn yang menyaksikan mereka kalah 2-3 kepada skuad 'Gajah Perang' itu, tiga hari kemudian.

Skuad negara, bagaimanapun menebus kembali kekecewaan dengan kemenangan ke atas Singapura pada aksi terakhir peringkat kumpulan, untuk berdepan juara kumpulan A, Vietnam pada separuh akhir, awal Disember ini.

Penyokong Malaysia sewajarnya memberi penghargaan kepada Dollah yang menjadi pencetus dalam membawa bola sepak negara, yang agak suram ketika ini kembali ke landasan kejayaan.

Beberapa pengajaran boleh diambil menerusi kejayaan Malaysia melangkah ke separuh akhir seperti semangat patriotik yang tertanam di dalam hati setiap pemain seperti mana yang diungkapkan oleh perancang tengah, Safiq Rahim.

"Kami memberi yang terbaik demi negara tercinta dan kami berjuang bersungguh-sungguh demi lambang bendera (Jalur Gemilang) yang terpahat di dada (jersi)," katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya sentiasa menyokong perjuangan skuad Harimau Malaya dalam mana-mana kejohanan seperti dipamerkan penyokong beberapa buah negara terutama di benua Eropah yang sentiasa menyokong pasukan masing-masing di kala suka dan duka.

Satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan pertemuan antara Thailand yang muncul juara Kumpulan B, berdepan naib juara kumpulan A, Filipina.

Perlawanan separuh akhir akan dijalankan mengikut format timbal balik, iaitu separuh akhir pertama pada 6 dan 7 Dis manakala separuh akhir kedua pada 10 dan 11 Dis.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment