Friday, December 05, 2014

Jurulatih Tahu Kemampuan Atlet, Kata Naim

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Atlet pelapis kebangsaan sepatutnya mencuba dahulu bidang atau kategori yang disyorkan jurulatih mereka dan bukannya menunjukkan 'protes' dengan menarik diri daripada skuad kebangsaan.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata jurulatih selalunya mempunyai penilaian dan pandangan tertentu terhadap kebolehan atlet di bawah seliaan mereka.

Malah, katanya keputusan atau pilihan yang dibuat oleh jurulatih itu juga adalah demi kepentingan atlet dan sukan berbasikal.

"Hanya jurulatih yang tahu kebolehan, kemampuan, taraf dan kedudukan seseorang atlet itu.

"Mungkin di peringkat kebangsaan dan negeri, dia cemerlang tapi di peringkat antarabangsa tidak mempunyai keputusan yang baik dan lebih baik dalam acara lain," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan basikal tandem sempena acara 'Pagi Bebas Kenderaan Kuala Lumpur' di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khamis.

Menurut Naim, atlet terbabit tidak perlu berasa kecewa sebaliknya mencuba dahulu acara baharu, dan jika didapati pencapaian tidak membanggakan beliau kemungkinan boleh kembali ke acara kegemarannya.

Naim mengulas mengenai tindakan seorang atlet pelapis sukan berbasikal negara mengambil keputusan keluar daripada skuad kebangsaan ekoran nama beliau tidak dipilih mengikuti latihan di Melbourne, Australia.

Difahamkan, tindakan atlet terbabit disebabkan kecewa kerana ketua jurulatih negara, John Beasley memindahkannya daripada pasukan pecut iaitu acara kegemarannya ke acara lasak yang berpangkalan di Kuala Lumpur.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment