Wednesday, December 10, 2014

FAM Perlu Contohi Uefa Tangani Samseng Bola Sepak - Velappan

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Bekas Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Peter Velappan mencadangkan badan induk kebangsaan itu mengikut langkah Kesatuan Bola Sepak Negara-Negara Eropah (Uefa) dalam menangani isu samseng bola sepak yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Sambil melahirkan kebimbangan terhadap masalah itu, beliau berkata FAM perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam membendung keganasan itu, seperti yang dilakukan Uefa dengan mengenakan hukuman berat kepada anggota gabungannya jika berlaku kekecohan sama ada semasa perlawanan di tempat sendiri atau lawan.

"Kita harus belajar daripada mereka (Uefa), kaedah menangani isu samseng bola sepak ini. Saya sedih dengan kekecohan di Stadium Shah Alam, Ahad lepas, di mana beberapa penyokong Vietnam cedera selepas diserang penyokong negara dan ia secara tidak langsung mencemarkan imej penyokong bola sepak Malaysia yang terkenal berkelakuan baik.

"Situasi ini tidak pernah berlaku semasa saya di FAM sebelum ini. Saya berharap FAM dan polis akan melihat perkara ini pada perlawanan akan datang," kata Velappan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran edisi kedua kejohanan bola sepak bawah 19 Tahun Piala 1Malaysia anjuran Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), di sini Selasa.

Beberapa penyokong Vietnam dilaporkan cedera selepas diserang penyokong negara yang kecewa selepas Malaysia tumpas 1-2 kepada Vietnam pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam, Ahad lepas.

Velappan juga menyokong cadangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin agar FAM mengenakan hukuman berat terhadap penyokong yang bertindak ganas, seperti menghalang mereka daripada memasuki stadium seumur hidup jika mereka didapati mempunyai rekod buruk dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Mengenai insiden di Shah Alam itu, Velappan yang juga bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata kekurangan pegawai keselamatan sebelum dan selepas perlawanan itu merupakan faktor utama yang menyebabkan kekecohan tersebut.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku kerana saya tiada di stadium, tetapi polis tiba lewat sedangkan kekecohan sudah pun berlaku. (Pegawai) FAM dan polis sepatutnya tiba lebih awal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sebelum dan selepas perlawanan," katanya.

-- BERNAMA

1 comment: