Thursday, December 04, 2014

Empat Pasukan Rebut Dua Slot Ke Separuh Akhir Piala TNB 2014

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Empat pasukan termasuk naib juara edisi lepas, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan berentap dalam saingan suku akhir bagi merebut dua slot ke separuh akhir Piala TNB 2014 pada Jumaat dan Sabtu ini.

Naib Presiden Konfiderasi Hoki Malaysia (MHC), M. Gobinathan berkata dua slot separuh akhir telah diisi dua pasukan pilihan iaitu Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) yang muncul juara dan naib juara Liga Hoki Malaysia 2014.

THT dinobatkan juara liga selepas menamatkan cabaran dengan mengutip 27 mata mengatasi pencabar utama, KLHC yang mengumpul 24 mata.

"Dua pasukan adalah pasukan pilihan, manakala empat lagi kita lakukan undian bagi menentukan siapa lawan masing-masing.

"Kejohanan ini bermula dario sifar iaitu tidak kad penalti sebelum ini diguna pakai," katanya kepada pemberita di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini pada Selasa.

Menurut Gobinathan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, pada kejohanan kali ini, pihaknya mengambil perhatian mengenai pandangan dan rungutan beberapa pengurus pasukan mengenai barisan pengadil.

Katanya, pihaknya akan menyediakan tenaga pengadil terbaik tempatan bagi memastikan mutu pengadilan pada kejohanan kali ini adalah berkualiti.

"Kita tidak akan membawa pengadil dari luar bagi mengadili kejohanan kali ini. Tapi kita akan pastikan pengadil yang terbaik.

"Kebanyakan mereka mahukan pengadil yang boleh memberi penjelasan dan tidak hanya mengarahkan atau memberi hukuman kepada pemain tanpa jelas," katanya.

Perlawanan suku akhir pertama pada Jumaat ini antara pasukan hoki UniKL menentang Maybank dan Sapura HC menentang TNB berlangsung pada pukul 6 petang dan 8 malam di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Perlawanan separuh akhir pertama pula akan berlangsung pada 10 Dis di Stadium Hoki Bukit Jalil dan Stadium Majlis Hoki Majlis Perbandaran Kuala Terengganu pada 6 petang, manakala separuh akhir kedua pula di Stadium Hoki Bukit Jalil pada pukul 6 petang dan 8 malam.

Perlawanan akhir pula berlangsung pada 14 Dis di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 5 petang, yang mana perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat dijalankan lebih awal iaitu pada 3 petang.

Johan Piala TNB 2014 akan membawa pulang wang tunai RM70,000 diikuti naib johan RM50,000, tempat ketiga RM40,000 dan tempat keempat RM30,000.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment