Wednesday, December 31, 2014

Atlet Negara Sertai Program Kesukarelawan Banjir


KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Prihatin dengan kesusahan yang dialami mangsa banjir, atlet negara turut terpanggil menghulur keringat bagi membantu mangsa menerusi program kesukarelawan anjuran Premier Youth Association (PYA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, seorang atlet yang terlibat dalam program tersebut berkata beliau berasa gembira dapat menyumbang keringat membantu petugas bantuan menyusun, mengasing dan mengangkut barang bantuan banjir di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

"Sebelum ini, saya dan rakan-rakan ada bercadang turun menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman, Terengganu namun dengan adanya program kesukarelawan ini saya rasa ini sudah cukup memadai," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Pemanah berusia 23 tahun berasal dari Kemaman, Terengganu itu berkata ibu, bapa dan adik perempuannya kini berada di sebuah surau di atas bukit, di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, sejak seminggu lepas.

Beliau berharap keadaan banjir bertambah baik dan keluargan serta mangsa banjir lain dapat segera pulang ke kediaman masing-masing.

"Saya menyedari keadaan tidak mengizinkan kerana paras air di Kemaman masih tinggi...saya berharap keluarga saya dan mangsa banjir lain dapat menghadapi ujian ini dengan tabah," katanya.

Sementara itu, pemanah wanita negara, Nur Aliya Ghapar, 18 tahun, berkata keluarganya yang berada di Seberang Takir, Kuala Terengganu bernasib baik dan tidak perlu berpindah ke pusat pemindahan banjir.

"Saya bersyukur kerana keluarga saya selamat dan saya berharap mereka dapat bersabar dengan kejadian banjir ini," katanya.

Beliau berharap penglibatan atlet negara dalam membantu usaha ini dapat menarik lebih banyak pihak menyertai kesukarelawan membantu mangsa banjir.

Program kesukarelawan tersebut melibatkan 54 atlet negara iaitu 20 pemain hoki (lelaki), 23 atlet memanah dan 11 atlet paralimpik.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment