Tuesday, December 02, 2014

Amaran keras insiden hisap rokok: FAM



Kelana Jaya: Penyerang Harimau Malaya Safee Sali diberi amaran keras susulan tersiarnya gambar pemain itu menghisap rokok di Singapura, Jumaat lalu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku ketika skuad negara memberi tumpuan untuk menentang Singapura dalam aksi terakhir saingan Kumpulan B.

“Kami sudah memanggil Safee serta beberapa pemain dalam gambar berkenaan. FAM sememangnya memandang serius perkara ini kerana tidak bagus bagi seorang atlet.

“Safee sudah memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan seperti itu. Kejadian itu berlaku pada jam 9 malam di depan hotel, tempoh yang masih dibenarkan untuk pemain negara keluar.

“Selepas perbincangan, amaran keras diberikan kepadanya dan tindakan lebih keras termasuk tatatertib dan denda akan dikenakan sekiranya berulang,” kata Hamidin di Wisma FAM semalam.
Gambar tersebar di laman sosial menunjukkan Safee yang minum bersama rakan sepasukan, menghisap rokok sehari sebelum perlawanan hidup mati menentang Singapura berlangsung di Stadium Nasional, Kallang.

Bagaimanapun Safee melenyapkan kontroversi itu apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-60, jaringan pertamanya dalam saingan kompetitif sejak November 2012.

“Insiden ini perlu menjadi pengajaran kepada pemain lain kerana mereka idola ramai rakyat Malaysia dan seharusnya tahu cara untuk berkelakuan di khalayak ramai.

“Kita bukan saja mahu berjaya dalam bola sepak malah ingin memberikan imej baik kepada masyarakat. Saya harap perkara ini sudah selesai sepenuhnya dan tidak perlu diperbesarkan lagi,” katanya.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment