Thursday, December 04, 2014

Adi Buru Pingat Emas Lontar Peluru Kali Keempat Di AUG Palembang

BANGI, 3 Dis (Bernama) -- Atlet lontar peluru kebangsaan Adi Alifuddin Hussin optimis mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 di Palembang, Indonesia yang bermula Rabu depan.

Adi, 26, berkata pengalaman beraksi dalam tiga edisi sukan AUG sebelum ini merupakan kelebihannya untuk mengekalkan pingat emas buat kali keempat berturut-turut selepas cemerlang pada 2008 di Kuala Lumpur, 2010 (Chiangmai, Thailand) dan 2012 (Vientiane, Laos).

Siswa tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menyifatkan Sukan AUG adalah platform terbaik buatnya dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura.

"Cabaran bagi saya ialah atlet dari Thailand kerana mereka mempunyai ramai pilihan dan prestasi mereka bagus tanpa mengira peringkat umur, jadi saya ambil peluang ini untuk lebih cemerlang di Sukan SEA di Singapura nanti.

"Saya kini berlatih bersama jurulatih baharu iaitu Mohd Malik Tobias (bekas atlet dekatlon negara), selama sebulan bersamanya saya lihat prestasi dan teknik balingan saya semakin baik cuma masih perlu memperbaiki beberapa kelemahan lagi," kata Adi kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini Rabu.

Semua atlet yang mengambil bahagian dalam sukan AUG menyertai kem latihan pusat akhir di UKM bermula hari ini sehingga Sabtu.

Adi merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan terbaik 17.53 meter ketika beraksi di Sukan SEA Palembang 2011.

Olahraga merupakan antara acara sukan yang menjadi tumpuan buruan pingat emas kontijen negara yang akan memulakan saingan pada 15 Dis ini di Stadium Olahraga Jaka Baring, Indonesia.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment