Thursday, November 06, 2014

‘Tiada siapa pun yang selamat’



Iklan jawatan kosong untuk ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) bermula kelmarin adalah isyarat bahawa tiada ketua agensi kementerian yang boleh berasa kedudukan mereka ter­jamin, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, prestasi semua ketua agensi kementerian dan pe­nyandang jawatan sentiasa dipantau dan tiada siapa yang boleh berasa selamat.

“Tiada siapa yang selamat,” tegas beliau selepas berucap pada Si­dang Kemuncak Modal Insan Tun Abdullah Ahmad Badawi 2014 anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (ASLI) di sini semalam.

Bekas Perdana Menteri itu turut hadir ketika beliau menyampaikan ucapan dasar bertajuk ‘Mengama­nahkan Bakal Pemimpin Menerusi Pembangunan Belia’.

Khairy, semalam, mengumumkan bahawa jawatan ketua pengarah MSN telah mula diiklankan di laman sesawang kementeriannya mulai kelmarin dengan tarikh akhir untuk menghantar permohonan adalah pada 24 November ini.

Jawatan itu ditawarkan secara kontrak dua tahun, dan calon-calon bakal ditemu duga dalam tempoh beberapa minggu selepas tarikh tutup permohonan dan individu yang berjaya dijangka diketahui sebelum penghujung tahun ini.

Jawatan itu bakal dikosongkan oleh Datuk Zolkples Embong, yang akan memulakan tugas baharu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sukan SEA 2017.

Menurut Khairy, Zolkples pada dasarnya sudah menerima tawaran pelantikan ke jawatan baharu itu namun butiran tugas baharunya belum ditetapkan.

“Pangkatnya akan kekal (seperti mana Ketua Pengarah MSN). Tugasnya di MSN akan berakhir secara rasminya apabila kita sudah tetapkan (butiran) kontrak CEO itu. Mungkin dalam masa terdekat, bulan depan,” jelasnya.

Khairy turut mempertahankan iklan berkenaan yang membuka permohonan kepada warganegara asing.

“Tiada masalah dari segi aspirasi nasional mahupun patriotik.

“Kita hendak cari individu yang terbaik dan berdedikasi untuk membangunkan sukan negara. Ini ialah kerja profesional. Sesiapa yang dipilih menyandang jawatan itu mesti memegang matlamat profesional. 

“(Lagipun) sudah banyak negara lain yang berjaya seperti pada (bola sepak) Piala Dunia yang penggubal dasar atau jurulatihnya dilantik daripada kalangan pakar luar negara mereka,” tegasnya.

Walaupun MSN bakal menerima ketua baharu, namun Khairy berkata pucuk pimpinan Institut Sukan Negara (ISN) tidak akan berubah buat masa ini kerana belum perlu untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini saya lihat tiada apa-apa keperluan bagi perubahan ISN tetapi iklan itu isyarat bahawa semua agensi kementerian sentiasa dipantau dan kita berpegang kepada prestasi,” katanya.


 Utusan Online

No comments:

Post a Comment