Thursday, November 20, 2014

PSM Tidak Bercadang Ambil Jurulatih Luar - Ahmad Ismail


Datuk Ahmad ismail
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tidak bercadang untuk menggunakan khidmat jurulatih luar bagi membimbing skuad kebangsaan, kata Presidennya Datuk Ahmad Ismail.

Beliau berkata jawatankuasa pemilihan PSM telah menerima 22 permohonan yang kesemua calonnya terdiri daripada jurulatih tempatan.

"Saya tidak tahu siapa calon yang telah disenarai pendek kerana masih belum menerima sebarang laporan daripada jawatankuasa pemilihan " katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jawatankuasa pemilihan dijangka membentangkan senarai pendek calon pada mesyuarat exco di Kedah bulan depan.

Beliau berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan berharap calon yang dipilih mampu mengembalikan semula imej sukan sepak takraw negara.

Jurulatih sebelum ini Jamaluddin Hassan mengumumkan persaraannya selepas membimbing skuad kebangsaan di Temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan awal Oktober lepas.

Skuad sepak takraw negara dikritik hebat kerana tidak lagi digeruni seperti dahulu malah kalah kepada pasukan seperti Korea Selatan yang sukan sepak takraw bukan merupakan permainan tradisi mereka.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment