Wednesday, November 26, 2014

PKBM mengadap PS lagi



Isu ‘menyelamatkan’ imej Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) sekali lagi mengheret Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) ke penghakiman Pesuruhjaya Sukan (PS) dalam tempoh terdekat. 

Menurut Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail, satu kertas siasatan akan dibuka berhubung ‘kehilangan’ dana berjumlah RM1.6 juta yang sepatutnya diagihkan sebagai hadiah kepada para pemenang kejohanan tersebut awla tahun ini.

“Ini kes berlainan dan ia tidak kena mengena dengan laporan audit sebelum ini. Oleh kerana ia baru timbul, kita akan siasat dan buka kes ini. Kita akan memanggil PKBM untuk memberi penjelasan lanjut mengenai wang tersebut,” ulas Shapawi ketika dihubu­ngi Kosmo! semalam. 

Tambah Shapawi, laporan siasatan tersebut seperti biasa akan diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk tindakan selanjutnya. 

Terdahulu, isu pembayaran wang kemenangan kepada pelumba yang menyertai LTdL mula diperkatakan di mana sehingga 22 November lalu, beberapa pasukan yang bertanding masih belum menerima bayaran meskipun PKBM perlu menyelesaikannya pada 21 Mac lalu iaitu sejurus perlumbaan berakhir. 

Malah, Khairy sendiri mengarahkan pasukan yang belum menerima bayaran menulis surat kepada kementeriannya dalam usaha menyelesaikan masalah baki pembayaran yang masih tertunggak dan perkara tersebut diakui Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim Mohamad yang bertindak selaku Ketua Pegawai Operasi. 

KBS dilaporkan telah mendepositkan dana berjumlah RM1.6 juta ke akaun PKBM pada 27 Januari lalu, di mana dalam satu mesyuarat yang dikendalikan badan induk sukan berbasikal negara itu menyatakan wang tersebut akan digunakan sebagai hadiah kemenangan dan akan dimasukkan ke dalam akaun selama 30 hari, sebelum bermulanya kejohanan iaitu pada 27 Febuari.

“Jika benar masih ada pasukan yang belum dibayar, sudah tentu mereka tidak akan me­nyertai LTdL. Secara tidak langsung, imej kejohanan berprestij ini akan tercalar. Sebab itu, kita perlu selesaikan masalah ini secepat mungkin agar perjalanan kejohanan yang dijadualkan Mac depan, berjalan dengan lancar,” ulas Khairy kelmarin dalam satu sidang akhbar. 

Untuk rekod, insiden ini merupakan kali kedua berlaku dalam temph tujuh tahun di mana KBS terpaksa campur tangan dalam menyelamatkan imej LTdL di mana sebelum ini melibatkan pakej berjumlah RM10.7juta bagi edisi 2006 apabila penganjur pada waktu itu, First Cartel Sdn. Berhad gagal melangsaikan pembayaran yang sepatutnya kepada pasukan yang bertanding.



Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment