Thursday, November 20, 2014

Petanda positif kepada Malaysia



Peletakan jawatan Terry Walsh (gambar) sebagai ketua jurulatih skuad hoki India dilihat sebagai petanda positif buat Konfe­derasi Hoki Malaysia (MHC).

Ini kerana situasi tersebut pastinya memberikan lebih banyak pilihan kepada MHC yang difahamkan sedang meneliti tujuh atau lapan jurulatih asing ketika ini.

Setiausaha Kehormat MHC, Datuk Mohd. Johari Abdul Aziz mengakui, peletakan jawatan Walsh itu sedikit sebanyak memberikan bonus tambahan dengan membuka ruang kepada pihaknya.
“Saya tak pasti mengenai perkara ini (peletakan jawatan Walsh), kami perlu berhubung terlebih dahulu dan mungkin ada dalam perancangan.

“Ini berita baharu kepada saya dan ia menjadi satu bonus kepada MHC. Situasi ini sekali gus membuka ‘pintu’ buat kami tetapi kita tidak tahu sama ada dia berminat atau tidak.

“Semuanya perlu berbincang dengan presiden (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan mendengar pandangan baginda terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, jurulatih kelahiran Australia itu berada dalam radar MHC, namun dikatakan terpaksa melupakan khidmat bekas pengendali skuad negara pada 1990 hingga 1993 itu setelah kembali bersama dengan skuad hoki India.

Peletakan jawatannya dengan India buat kali kedua pastinya memberikan berita gembira kepada kem negara yang ketika ini dikendalikan sementara oleh Tai Beng Hai menggantikan Arul Selvaraj.
Selain Walsh, skuad negara pernah dibimbing jurulatih asing iaitu Volker Knapp (Jerman) 1993-1998, Paul Lissek (Jerman) 2000-2003 dan Paul Revington (Afrika Selatan) pada 2012-2014.

Ketiadaan Revington yang membuat keputusan untuk bersara awal musim ini ekoran masalah kesihatan telah digantikan oleh Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang direhatkan sementara kerana kemerosotan prestasi pada pertengahan tahun ini.

Khidmat anak tempatan pernah digunakan bermula pada 2003 iaitu Wallace Tan, Sarjit Singh, Beng Hai dan Stephen van Huizen sebelum Dhaarma Raj.



  MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH - KOSMO

No comments:

Post a Comment