Thursday, November 27, 2014

M'sia Pilih Jalan Sukar Ke Separuh Akhir



SINGAPURA, 26 Nov (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya memilih jalan berliku ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 selepas kalah 3-2 kepada Thailand pada aksi kedua kumpulan B di Stadium Jalan Besar di sini, Rabu malam.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia perlu menundukkan Singapura pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub pada Sabtu ini.

Kemenangan kedua yang dicatatkan oleh Thailand pula menjadikan mereka pasukan kedua yang mengesahkan slot ke separuh akhir selepas Filipina daripada kumpulan A.

Malaysia sebelum ini terikat tanpa jaringan menentang Myanmar, Ahad lepas manakala Thailand mengalahkan Singapura 2-1 pada aksi pembukaan di Stadium Nasional.

Thailand bakal menamatkan aksi pusingan awal menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini.

Pada aksi malam ini, pasukan Thailand kendalian Kiatisuk Senamuang dilihat banyak mendominasi perlawanan sehingga memaksa pemain negara terpaksa 'berkampung' di halaman sendiri pada babak awal perlawanan.

Nasib bagaimanapun lebih memihak skuad Harimau Malaya yang membuka tirai jaringan menerusi Mohd Amri Yahyah pada minit ke-28 selepas beliau bijak mengambil kesempatan kelalaian benteng pertahanan Thailand.

Kedudukan berkenaan tidak bertahan lama apabila skuad 'Gajah Perang' itu berjaya menyamakan kedudukan menerusi sentuhan penyudah pemain gantian, Adisak Kraisorn pada minit ke-42 dan keputusan berkenaan kekal sehingga berakhirnya separuh masa.

Bersambung babak kedua, Thailand meneruskan penguasaan mereka bagi menggandakan jaringan namun Malaysia berjaya mendahului menerusi gerakan solo perancang tengah, Safiq Rahim pada minit ke-60.

Thailand bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang mereka, Charyl Yannic Chappuis yang melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti Malaysia pada minit ke-72.

Adisak menjadi 'duri dalam daging' untuk skuad Harimau Malaya selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 bagi memastikan Thailand mengesahkan tempat ke separuh akhir walaupun berbaki satu perlawanan.

Terdahulu, perlawanan berkenaan yang sepatutnya bermula pada 5 petang terpaksa ditunda hampir tiga jam berikutan hujan lebat serta petir sehingga memaksa pihak stadium menunda perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, juara bertahan melakar kemenangan sulung selepas mengalahkan Myanmar 4-2 pada satu lagi aksi kumpulan B di Stadium Nasional.

Empat gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Shaiful Esah Nain pada minit ke-15, Hariss Harun (35' dan 42') serta gol sendiri Khin Maung Lwin (75') manakala dua gol Myanmar disumbangkan oleh Kyaw Zayar Win (55') dan Kyaw Ko Ko menerusi sepakan penalti pada minit ke-62.

Daripada Mazani Chan Yat Sin -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment