Friday, November 07, 2014

Lantik peguam bantu Chong Wei



Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang melantik peguam pengalaman dalam kes doping, Mike Morgan berhubung isu Datuk Lee Chong Wei yang didapati positif ujian air kencing sampel A.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Morgan berpengalaman mengendalikan kes doping membabitkan acara sukan.

“Morgan juga sudah membuat persiapan mengenai hujah-hujah jika atlet berkenaan didapati positif menggunakan dadah,” katanya.

Jelasnya, peguam terbabit akan memainkan peranan bagi memastikan pemain badminton nombor satu dunia itu menerima hukuman paling minimum jika ujian sampel B didapati positif.

“Saya tidak boleh beri sebarang kenyataan rasmi hingga Persatuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkannya dan mereka juga memberi amaran kepada saya untuk tidak memberi sebarang komen.

“KBS sentiasa memainkan peranan dalam isu doping sejak hari pertama lagi dan jika atlet didapati positif, kami akan periksa semua rekodnya termasuk perubatan bagi mengenal pasti rawatan yang dijalankan mungkin mempengaruhi ujian dadah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, keputusan ujian sampel B sudah diketahui semalam, tetapi ia akan disalurkan terlebih dulu kepada BWF menerusi Agensi Anti-Doping Antarabangsa (WADA), sebelum mengikut semua prosedur yang ditetapkan.

“Selepas mengenal pasti keputusan, barulah boleh buat pengumuman,” katanya yang tidak mahu memberi sebarang kemungkinan mengenai isu itu kerana masih terlalu awal dan membiarkan BWF saja yang mengumumkannya.

Ujarnya, KBS sudah mengeluarkan banyak belanja untuk melantik peguam dan juga memeriksa makanan tambahan, minium dan gel rambut yang digunakan Chong Wei dalam isu doping ini.

“KBS juga bersedia menghadapi kemungkinan jika keputusan sampel B positif. Saya juga sentiasa menghubunginya sejak hari pertama kes ini dan memberi kata-kata semangat, menyuruhnya agar bersabar.

“Jika positif ia bukan episod akhir buat atlet berkenaan kerana masih ada prosedur untuk mengesahkan kes ini,” katanya.

Kelmarin, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu menyaksikan sendiri ujian sampel B dilakukan dua saintis dilantik WADA di Hospital Universiti Oslo, Norway pada jam 9 pagi bersamaan 4 petang waktu Malaysia.

Arena Badminton negara dikejutkan dengan Chong Wei gagal ujian doping bahan terlarang dexamethasone pada Kejohanan Badminton Dunia di Denmark Ogos lalu.





Oleh Ferzalfie Fauzi - Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment