Tuesday, November 04, 2014

Chong Wei serah diri ke Oslo, Norway




Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dikaitkan dengan kegagalan ujian doping berlepas ke Norway daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.
Pemain No. 1 dunia itu, ditemani isterinya, Datin Wong Mew Choo yang menaiki penerbangan Syarikat Penerbangan Malaysia MH002 berlepas pada pukul 11.55 malam untuk transit di London sebelum ke Oslo, Norway.

Turut mengiringi Chong Wei ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Ramlan Abdul Aziz dan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh.
Kenny yang ditemui pemberita memberitahu, beliau menyertai rombongan tersebut untuk memastikan prosedur analisis sampel B dijalankan dengan betul.

“Saya ikut kerana nak pastikan prosedur itu betul. Keputusan (ujian sampel B) akan diketahui daripada BWF (Persekutuan Badminton Dunia),” ujar Kenny.
Analisis sampel akan dibuat di Hospital Universiti Oslo.

Dalam pada itu, Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas), Nishel Kumar memberitahu, keputusan analisis sampel B itu tidak akan diketahui esok sebaliknya akan dimaklumkan oleh makmal tersebut terus kepada BWF.

“Keputusan ujian sample B juga tidak akan diketahui pada hari yang sama, sebaliknya pihak makmal hanya akan memaklumkan kepada BWF. 

“Atlet hanya akan dimaklumkan kemudian oleh badan induk itu nanti,” kata Nishel.
Badminton negara dikejutkan seorang atlet negara yang gagal ujian doping dexamethasone pada Kejohanan Badminton Dunia di Denmark Ogos lalu.

Rentetan daripada isu itu, BAM akhirnya membuat pengakuan bahawa pemain tersebut merupakan atlet yang bernaung di bawah badan induk itu.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan serta BAM enggan mendedahka identiti atlet tersebut kerana termaktub di bawah peraturan BWF yang mana hanya akan didedahkan sehinggalah atlet tersebut benar-benar didapati menggunakan bahan terlarang.

Atlet tersebut sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut pada 1 Oktober lalu, bagaimanapun atlet itu meminta untuk menjalani ujian sampel B pada 16 Oktober lalu




Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com,my
 

No comments:

Post a Comment