Tuesday, November 04, 2014

Atlet ke Oslo untuk tengok prosedur




  
Walaupun dibenar menyaksikan sendiri proses ujian doping sampel B dilakukan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di Oslo, Norway, pemain berstatus elit yang dikatakan gagal melepasi pemeriksaan doping masih tidak akan mengetahui keputusan tersebut esok.

Ketua Unit Agensi Anti-Doping Malaysia, Nishel Kumar berkata kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dan atlet badminton negara tersebut sekadar untuk melihat sampel B dilakukan dengan betul dan bukannya untuk pulang dengan jawapan daripada keputusan berkenaan.

“Tujuan utama atlet terlibat perlu ada semasa proses dilakukan adalah untuk melihat tiada sebarang keraguan pada botol sampel B.

“Malah, jawapan berhubung keputusan ujian sampel B juga tidak akan diketahui pada hari yang sama, sebaliknya pihak makmal hanya akan memaklumkan kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) manakala atlet hanya akan dimaklumkan kemudian oleh badan induk itu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam. 

Keputusan sampel B pemain badminton tersebut dijangka akan diketahui pada lusa pukul 6 petang waktu tempatan Oslo bersamaan 1 pagi waktu Malaysia (Jumaat).

Malah, BWF yang beribu pejabat di Malaysia hanya akan mengetahui keputusan berhubung sampel B pada Jumaat ini iaitu ketika atlet terlibat dan Dr. Ramlan dalam perjalanan pulang dari Oslo.

Sementara itu, teka-teki atlet badminton terlibat itu hampir terjawab apabila tinjauan Utusan Malaysia di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam mendapati pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hadir untuk mendaftar bagi penerbangan MH002 ke London bagi transit ke Norway.

Malah setengah jam selepas Chong Wei mendaftar turut kelihatan Dr. Ramlan mendaftar di kaunter yang sama begitu juga Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh.
“Saya ikut bagi memastikan proses sampel B dibuka dan dilakukan dengan betul,” kata Kenny yang ditemui di KLIA.

Mengikut peraturan baharu BWF sekiranya sampel tersebut positif, satu panel khas akan menentukan sama ada atlet tersebut bersalah atau tidak dan hukuman yang akan dikenakan juga bakal diputuskan kemudian.

Atlet terlibat juga dibenarkan BWF untuk membuat rayuan berhubung keputusan yang diperoleh sebelum hukuman dijatuhkan.

Sebelum ini, sukan negara digemparkan dengan berita seorang atlet elit gagal ujian doping dan rentetan daripada isu itu, BAM akhirnya membuat pengakuan pemain elit mereka disahkan positif dadah melalui ujian air ken­cing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos lalu.

Malah sumber memberitahu, pemain itu adalah lelaki, selain turut meraih pingat pada Sukan Asia di Incheon.




ZAZALI JAMIAN (sukan@utusan.com.my)
ZAZALI JAMIAN (sukan@utusan.com.my)


No comments:

Post a Comment