Friday, October 31, 2014

Shahidan Tarik Diri Dari Tanding Jawatan Presiden KOM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bekas presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan presiden pada pemilihan badan induk olahraga itu, Sabtu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau membuat keputusan itu setelah meneliti beban tugasnya sebagai anggota kabinet kerajaan dan juga Anggota Parlimen Arau.

Shahidan, yang juga Penasihat Persatuan Olahraga Perlis (POPs) dan pernah menerajui KOM dari 2006 sehingga 2012, menjelaskan beliau akan memberikan sokongan padu kepada bekas timbalannya, Datuk Karim Ibrahim bagi merebut jawatan presiden pada pemilihan itu nanti.

"Insya-Allah, negeri Perlis dan beberapa ahli gabungan lain akan memberikan sokongan padu kepada Karim dan saya yakin beliau akan memenangi jawatan tersebut," katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Karim yang turut hadir, melahirkan rasa gembira dengan sokongan tersebut sambil berjanji akan melakukan perubahan dalam program pembangunan olahraga negara sekiranya dipilih menjadi presiden baharu.

"Beliau (Shahidan) merupakan individu terbaik yang pernah menerajui KOM memandangkan majoriti atlet dan jurulatih negara senang bekerja dengan beliau, sebelum ini.

"Saya turut berharap agar ahli gabungan dapat mengundi calon yang mereka rasakan terbaik untuk masa depan KOM pada pemilihan kali ini," kata Karim yang merupakan Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP).

Penarikan diri Shahidan itu menyaksikan pertandingan dua penjuru bagi jawatan Presiden antara Karim dan Timbalan Presiden KOM, Datuk Wan Hisham Wan Salleh.

Sebelum ini, penyandang presiden Datuk Zainal Abidin Ahmad mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2012.

Sebanyak 42 perwakilan daripada 14 ahli gabungan KOM (setiap ahli gabungan mempunyai tiga wakil) akan membuat undian bagi memilih barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2014-2016.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment