Tuesday, October 21, 2014

Seteru tiga penjuru



Perebutan kerusi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 1 November bakal menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan timbalan presiden semasa serta bekas presiden dan timbalan presiden badan induk berkenaan.

Presiden KOM Datuk Zainal Abidin Ahmad yang tidak akan mempertahankan jawatannya bagi penggal baru 2014-2016, mengumumkan timbalan presiden semasa Datuk Wan Hisham Wan Salleh akan dicabar bekas presiden Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalannya sebelum ini, Datuk Karim Ibrahim.

Karim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP) mendahului senarai dengan enam pencalonan, manakala Shahidan mendapat dua dan Wan Hisham, satu.

Ketika ditanya mengenai status Shahidan selaku anggota kabinet bagi merebut jawatan tertinggi badan induk itu, Zainal menjawab perkara itu terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan ahli kabinetnya memegang jawatan dalam sesuatu organisasi sukan.

“Terpulang kepada kabinet untuk membuat keputusan. Cuma saya dapati laporan media pada 2007 melaporkan Pak Lah (bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi) mengarahkan setiap menteri melepaskan jawatan dalam organisasi sukan termasuk Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen.

“Tapi jika anda tanya saya, ini negara demokrasi terpulang sesiapa untuk bertanding. Apapun terserah kepada kabinet,” katanya kepada pemberita, semalam.

Sementara itu, Wan Hisham yang mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada Zainal, menerima cabaran daripada dua pesaingnya itu dengan hati terbuka dan meminta setiap ahli gabungan membuat pilihan tepat bagi meneruskan kesinambungan KOM yang sudah merangka pelbagai program sejak dua tahun lalu.

“KOM sentiasa membuka pintu kepada mereka yang mahu menyumbang dalam membangunkan olahraga.

“Masalah kami sebelum ini tiada atlet berwibawa yang boleh diketengahkan.
“Kami sudah turun padang sejak dua tahun lalu bagi membina semula program pencarian bakat baru yang kami yakin mampu menyerlah pada Sukan SEA 2015 dan 2017. 

“Jika dilantik Presiden, saya akan meneruskan agenda yang sudah diatur itu bagi melonjakkan martabat sukan olahraga negara,” katanya.
Saingan bagi merebut kerusi Timbalan dan Naib Presiden juga tidak kurang hangatnya dengan beberapa nama bersaing sengit.

Karim yang turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden menerima dua pencalonan, manakala Wan Hisham, Datuk R Annamalai, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Datuk S M Muthu, satu.
Selain itu, 10 calon disahkan bertanding bagi merebut empat jawatan Naib Presiden.

Mengetuai senarai Datuk R Annamalai, Datuk Tham Siew Kai, Datuk Mumtaz Begum Jaafar, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, Datuk S M Muthu, Datuk Harjeet Singh, Datuk Rosni Sohar, Francis Shim, Rajemah Sheikh Ahmad dan Iyaru Muthusamy.

Seramai 42 perwakilan daripada 14 ahli gabungan KOM (setiap ahli gabungan mempunyai tiga wakil) akan mengundi di Dewan Komanwel Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil nanti.



Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment